Minta pandangan guru, pakar perubatan sebelum buka sekolah, kata Kit Siang


Keputusan buka semula sekolah perlu dikaji semula kerana jangkitan Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan reda, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2021.

KEPUTUSAN untuk membuka semula sekolah pada 1 September perlu dipertimbang semula kerana kes jangkitan Covid-19 masih belum menunjukkan tanda akan reda, kata Lim Kit Siang.

Kementerian Pendidikan (KPM) katanya perlu mendapatkan pandangan guru, ibu bapa dan pakar perubatan sebelum membuat keputusan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, KPM perlu mewujudkan jawatankuasa pengurusan risiko Covid-19, memperuntukkan dana dan mengeluarkan garis panduan mengikut jenis sekolah bagi membendung jangkitan.

“Pengurusan risiko mestilah melibatkan sekolah, guru dan pakar perubatan.

“Ia mengikut jenis sekolah. Mungkin ada persamaan tetapi perbezaannya adalah sama ada sekolah berasrama penuh atau tidak, dan umur murid,” katanya dalam kenyataan.

Pengurusan risiko Covid-19 katanya bermatlamat untuk mencegah dan menguruskan wabak supaya jangkitan terkawal, tambahnya.

KPM pada 17 Julai lalu umum sekolah akan dibuka semula secara berperingkat mulai 1 September ini.

Menerusi catatan di Facebook baru-baru ini, Menteri Pendidikan Radzi Md Jidin berkata seramai 352,649 guru atau 85.41% guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Lim seterusnya berkata, data kes baharu dan kematian akibat Covid-19 menunjukkan situasi pandemik dalam negara semakin serius selepas KPM umum keputusan untuk buka sekolah.

“Ketika KPM umum keputusan pada 17 Julai, sebanyak 12,541 kes baharu dengan 115 kematian dilaporkan pada 16 Julai. Semalam pula 21,668 kes dengan 318 kematian.

“Pada 16 Julai, jumlah jangkitan ketika itu 893,323 kes, dan 11,691 kematian. Sekarang, naik kepada 1,342,215 kes dan 11,691 kematian,” jelasnya.

Veteran DAP itu meramalkan angka harian akan mencecah 24,000 kes sehari pada pertengahan bulan ini, sebulan lebih awal yang diunjukan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ketika Dr Noor Hisham meramalkan jangkitan Covid-19 di Malaysia mungkin capai kemuncak pada pertengahan September, beliau tidak mengharapkan ia akan jadi kenyataan, kerana beliau berharap ia dapat dielakkan.”

“Dr Noor Hisham tidak menjangkakan ramalannya benar sebulan lebih awal - satu lagi petunjuk mengenai kegagalan pengurusan pandemik Covid-19 di Malaysia sehingga menjadi antara negara yang mempunyai prestasi tercorot di dunia,” kata Lim. – 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen