2 menteri baru Umno akan dilantik, 2 menteri bertukar, kata sumber


Noor Azam Shairi

Umno sekarang mempunyai tujuh menteri dalam kabinet Muhyiddin Yassin selepas Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad letak jawatan sebagai menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2021.

DUA ahli Parlimen Umno akan dilantik sebagai menteri kabinet Muhyiddin Yassin sementara dua menteri bertukar portfolio dalam rombakan kecil susulan peletakan jawatan dua menteri minggu lalu, kata sumber.

Portfolio tenaga dan sumber asli serta pengajian tinggi kosong selepas menterinya Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad letak jawatan masing-masing pada 3 dan 6 Ogos, susulan keputusan Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Rombakan akan diumumkan tidak lama lagi,” kata sumber, yang maklum mengenai proses mengisi kekosongan kabinet itu.

The Malaysian Insight difahamkan seorang menteri baharu Umno akan mengisi satu portfolio yang kosong sementara seorang menteri berpindah ke kementerian yang satu lagi.

Nama mereka yang terlibat sudah dikenal pasti, tambah sumber, tanpa memberi butiran lanjut mengenai perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah rombakan pertama kabinet Muhyiddin sejak jadi perdana menteri Mac tahun lalu selepas percaturan politik yang menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan dari Putrajaya.

Shamsul Anuar dan Noraini letak jawatan menteri ketika sekumpulan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Umno mengesahkan 14 ahli Parlimennya kini tidak lagi menyokong Muhyiddin dan sudah mempersembahkan surat akuan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Umno sekarang mempunyai tujuh menteri dalam kabinet Muhyiddin, selepas Shamsul Anuar dan Noraini letak jawatan.

Julai lepas, naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dilantik timbalan perdana menteri dan kekal di portfolio pertahanan.

Bekas naib presiden Hishammuddin Hussein kini menteri kanan keselamatan merangkap menteri luar negeri.

Menteri-menteri lain ialah Dr Adham Baba (kesihatan), Khairy Jamaluddin (sains, teknologi dan inovasi ), Reezal Merican Naina Merican (belia dan sukan), Halimah Siddique (perpaduan negara) dan Annuar Musa (wilayah persekutuan).

Umno juga mempunyai tujuh timbalan menteri dalam kabinet Muhyiddin, termasuk seorang senator.

Minggu lalu, Ismail Sabri mengumumkan 31 ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional kekal menyokong kerajaan Muhyiddin dan mahu keabsahannya ditentukan semasa sidang Parlimen September ini.

Katanya, mereka tidak bertanggungjawab sekiranya meninggalkan kerajaan PN dengan tergesa-gesa dan menumbangkannya sekarang ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

Sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen Umno kemudian menafikan mereka bersama kumpulan ini.

Sekurang-kurangnya lapan ahli parlimen Umno yang minggu lalu secara terbuka menyokong Muhyiddin tidak memegang jawatan menteri atau timbalan menteri.

Antaranya naib presiden Umno Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dan pengerusi Tenaga Nasional Berhad. Beliau pernah jadi menteri pendidikan dan timbalan menteri tenaga, teknologi hijau dan air dalam pentadbiran Najib Razak.

Minggu lalu, Mahdzir menafikan laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau sudah dimaklum akan dilantik menggantikan Shamsul Nasarah berdasarkan pengalamannya di portfolio tenaga.

Beberapa ahli parlimen Umno lain yang bukan menteri atau timbalan menteri tetapi pernah memegang jawatan dalam pentadbiran sebelum ini termasuk Shahidan Kasim (Arau), Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), dan Idris Jusoh (Besut).

Seorang lagi Jalaluddin Alias (Jelebu) pernah jadi exco kerajaan Negeri Sembilan memegang portfolio kerajaan tempatan, perumahan dan kesejahteraan bandar, sementara Salim Sharif (Jempol) pernah jadi senator.

Hasan Ariffin (Rompin) pula pernah jadi timbalan menteri besar Pahang antara 1995 hingga 1999.

Umno mempunyai 38 wakil di Dewan Rakyat sementara komponen BN MCA dua wakil manakala MIC dan PBRS masing-masing seorang. – 13 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen