POLIS Pulau Pinang tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung penjualan sijil vaksin Mysejahtera palsu di negeri itu untuk digunakan bagi merentas daerah atau makan di kedai-kedai makanan.
Timbalan Ketua Polis negeri, Fisol Salleh berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati pada dasarnya rata-rata penduduk Pulau Pinang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pemantauan polis mendapati warga Pulau Pinang memberi kerjasama yang baik berhubung pematuhan SOP. Setakat ini belum ada tangkapan membabitkan mereka yang ingkar SOP ketika PPN. Kami juga tidak menerima laporan atau aduan mengenai penggunaan sijil vaksin palsu,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.
Katanya pihak polis meminta semua penduduk di Pulau Pinang mematuhi SOP yang ditetapkan dan menyediakan salin layar (screen shot) sijil digital Mysejahtera berhubung penerimaan dos suntikan vaksin bagi memudahkan pemeriksaan ketika sekatan jalan raya atau ketika menjamu selera di kedai-kedai makanan.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap, diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri, solat berjemaah di masjid dan surau serta “dine-in” di restoran; terpakai dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 10 Ogos. – Bernama, 12 Ogos, 2021.
Komen