Tertinggi sejak pandemik, 21,668 kes baharu Covid-19 hari ini


Seluruh negara masih di bawah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19. Kes baharu jangkitan hari ini ialah 21,668. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Ogos, 2021.

MALAYSIA sekali lagi merekodkan angka jangkitan baharu Covid-19 paling tinggi dengan 21,668 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,342,215.

Kes harian paling tinggi sebelum ini dilaporkan enam hari lalu, iaitu 20,889 kes pada 6 Ogos.

Selangor kekal merekodkan kes tertinggi dengan 6,278 jangkitan diikuti Kuala Lumpur (2,436), Kedah (2,143) dan Sabah (2,052).

Sementara itu, tiga negeri lain iaitu Johor (1,706), Sarawak (1,216) dan Pulau Pinang (1,229) melaporkan lebih 1,000 kes jangkitan.

Negeri Sembilan melaporkan 899 kes sementara Kelantan (972), Perak (930), Melaka (494), Terengganu (594), Labuan (11), Putrajaya (56) dan Perlis (23).

Dalam perkembangan lain, 40.7% daripada populasi dewasa di Malaysia sudah menerima dua dos vaksin.

Sejumlah 9.51 juta dewasa di Malaysia kini lengkap dua dos, sementara 16.34 juta atau 69.8% menerima satu dos. – 12 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen