PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) menggesa wanita hamil untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dengan data menunjukkan bahawa ia tidak akan meningkatkan risiko keguguran.
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS Rochelle Walensky berkata, agensi itu menggalakkan semua wanita hamil atau mereka yang sedang merancang untuk hamil dan yang menyusukan anak untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri mereka dari Covid-19.
“Vaksin adalah selamat dan berkesan dan tidak ada yang lebih penting kerana kita sedang berdepan varian Delta yang sangat mudah berjangkit selain peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan wanita hamil yang tidak divaksin,” katanya.
Menurut kajian baru-baru ini, hanya satu daripada empat wanita hamil yang menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.
CDC berkata bahawa analisis data semasa mendapati tidak ada peningkatan risiko keguguran di antara hampir 2,500 wanita hamil yang menerima vaksin mRNA Covid-19 – jenis suntikan yang dibuat oleh Pfizer dan Moderna di Amerika Syarikat – sebelum 20 minggu kehamilan.
Mereka berkata, kadar keguguran dalam kalangan wanita yang mendapat vaksin Covid-19 adalah sekitar 13 peratus, hampir sama dengan kadar keguguran biasa 11 hingga 16 peratus kehamilan.
“Manfaat menerima vaksin Covid-19 untuk wanita hamil melebihi risiko yang diketahui atau berpotensi.
“Peningkatan risiko penyakit teruk dan komplikasi kehamilan yang berkaitan dengan jangkitan Covid-19 dalam kalangan wanita hamil menjadikan vaksinasi untuk populasi ini lebih penting dari sebelumnya,” katanya. – AFP, 12 Ogos, 2021.
Komen