DUN Johor akan dibubarkan sekiranya terdapat sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Baginda memberi amaran tersebut agar wakil rakyat Johor tidak berpolitik sewaktu rakyat kesusahan akibat pandemik.
“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan dewan negeri Johor.
“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.”
“Apabila wabak Covid-19 terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu,” titah baginda dalam ucapan sewaktu merasmikan persidangan hari ini.
Sultan Ibrahim seterusnya menitahkan wakil rakyat sepatutnya berbincang untuk menyusun pelan tindakan membantu rakyat dan tidak membawa usul tidak berkenaan.
Baginda juga menitahkan agar dewan tersebut tidak dicemari dengan kelakuan buruk seperti itu.
“Dewan negeri ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor.
“Jangan cemarkan dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk,” titahnya.
Ucapan tersebut disampaikan di DUN dianggotai 56 wakil rakyat termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga Adun Gambir.
Sidang DUN Johor perhatian menjadi selepas 15 ahli Parlimen Umno mengumumkan menarik sokongan ke atas Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.
Tekanan itu memaksa Muhyiddin mengadakan undi percaya lebih awal pada minggu depan untuk membuktikan sokongannya untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
Beberapa sumber dari kalangan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN mendedahkan perkara itu kepada The Malaysian Insight semalam.
Kerajaan Johor yang juga diterajui PN menguasai 29 kerusi, termasuk dari kalangan wakil rakyat Umno. Pakatan Harapan di blok pembangkang dengan 27 kerusi. – 12 Ogos, 2021.
Komen