PANDEMIK Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada orang yang berkemampuan, malah ia juga telah mengakibatkan orang kurang upaya (OKU) hilang mata pencarian.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sekatan pergerakan koronavirus yang berterusan ini bukan sahaja menyebabkan pergerakan mereka tersekat malah mata pencarian mereka juga terjejas teruk.
Justeru mereka berharap Putrajaya dapat menolong mereka menyesuaikan diri dalam keadaan baharu waktu pandemik ini yang telah mempengaruhi semua orang.
Dianggarkan lebih 20,000 pengguna kerusi roda di seluruh negara, kata pusat pemulihan bagi OKU.
Selepas kemalangan kereta sehingga terpaksa berkerusi roda, Samsir Ab Latiff kini sedang berusaha untuk memenuhi keperluan hidupnya sehari-hari.
Pemandu Grab berusia 62 tahun ini berkata beliau sukar mencari rezeki kerana sekatan pergerakan yang berterusan.
“Saya kerja dari pagi sampai malam. Saya cuma dapat lebih kurang RM20 hingga RM30. Itu tidak cukup untuk tampung minyak kereta saya.
“Saya terpaksa berhenti memandu seketika sebab pelanggan kurang, kes Covid-19 pula tinggi.”

Samsir, bapa tunggal dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 15 tahun, berkata beliau hidup sehari-hari kerana adanya bantuan dari jabatan kebajikan sebanyak RM450 sebulan.
“Kami cukup makan, tetapi kami risau dengan duit kereta dan bil-bil utiliti lain.
“Saya juga perlukan duit sebab keadaan saya ini. Setiap bulan kena buat pemeriksaan di hospital. Saya hidap tekanan darah tinggi dan diabetes.
“Kami tidak minta banyak. Kami cuma harap kerajaan dapat tolong kami dengan bagi lebih banyak bantuan sampai hujung tahun ini.”
Samsir juga ada permintaan lain kepada kerajaan - mohon luluskan segera kewarganegaraan Malaysia kepada anak perempuannya yang lahir di Jerman.
“Kami telah mohon warganegara dari kerajaan, tetapi mereka kata sedang diproses.
“Jika berlaku apa-apa kepada saya, dia akan dihantar balik ke Jerman.”
Hilang punca pendapatan
Turut hilang pendapatan kerana sekatan pergerakan ialah S. Jayaraj, 43, yang berkerusi roda sejak 2006 kerana kemalangan industri.
“Saya pernah jual pen di hadapan bank, restoran dan kawasan lain di sekitar Lembah Klang sebelum sekatan pergerakan.
“Tetapi, dengan sekatan pergerakan yang ketat ini, saya tidak dapat cari duit. Sekarang, saya sudah tidak ada pendapatan yang berterusan.”
Jayaraj, yang menetap di Rawang, Selangor, berkata walaupun mereka dapat elaun bulanan pekerja OKU sebanyak RM450, namun itu tidak mencukupi.
“Kalau kami dapat elaun jabatan kebajikan, kami tak boleh dapat bantuan Prihatin RM500. Kami juga sepatutnya layak dapat bantuan itu.
“Jabatan kebajikan juga perlu buat kunjungan ke rumah untuk tengok kehidupan kita. Kami harap kerajaan dapat bagi lebih banyak bantuan wang sampai hujung tahun ini.
“Kami juga gesa syarikat telekomunikasi bagi potongan 80% pada bil telefon bulanan kami. Ini akan jadi sangat membantu buat kami.”
Beliau juga berharap kerajaan dapat kaji naikkan elaun pekerja kurang upaya kepada RM700 sebulan.

Mohon pertolongan
Teo Kah Choo, 53, yang kehilangan kemampuan untuk berjalan akibat polio ketika berusia tiga tahun, berkata beliau kesempitan wang kerana sudah tidak boleh menjalankan perniagaan buahnya secara bergerak.
“Saya ada motosikal dengan kereta sisi, yang biasa saya guna untuk jual buah-buahan di Seksyen 17, Petaling Jaya.
“Tetapi, sejak pandemik saya tidak dibenarkan beroperasi kerana sekatan pergerakan.”
Teo, yang menetap di Petaling Jaya bersama ibunya yang berusia 81 tahun, berkata mereka kini hidup dengan sewa RM1,000 yang mereka dapat dari rumah lain yang mereka sewakan di Serdang.
“Sekarang sangat susah. Kami perlu dana untuk beli bahan makanan dan ubat buat emak saya.
“Kami masih bertahan dengan duit sewa. Tetapi sejak beberapa bulan ini kami tidak dapat kumpul sewa sebab penyewa juga hilang kerja.
“Saya risau kalau kami hilang penyewa, kami akan tidak ada sumber lagi. Siapa yang boleh kami harapkan?”
Walaupun beliau telah mendapat bantuan pakej Prihatin kerajaan, beliau berkata itu hanya untuk jangka masa yang pendek sahaja.
“Kami harap kerajaan bukan sekadar tolong kami saja, tetapi semua orang kurang upaya, terutama mereka yang tinggal seorang diri.” – 13 Ogos, 2021.
Komen