SEMUA guru di California perlu diberi vaksin Covid-19 atau menjalani ujian saringan secara mingguan, kata gabenor negara itu semalam ketika pihak berkuasa bergelut dengan kadar jangkitan yang meningkat.
Jumlah mereka yang diuji positif meningkat di seluruh Amerika Syarikat dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan oleh varian Delta yang mudah menular menyebabkan peningkatan kes baharu.
Perkara itu membimbangkan ibu bapa dan pendidik di negara itu untuk menghantar anak-anak yang kebanyakannya tidak divaksin kembali ke sekolah bagi memulakan tahun persekolahan baharu.
“Untuk memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat apabila kembali ke sekolah, kami mendesak semua kakitangan sekolah untuk mendapatkan vaksin,” kata Gavin Newsom.
“Vaksinasi adalah cara untuk kitta mengakhiri wabak ini. Sebagai seorang ayah, saya menantikan permulaan tahun persekolahan dan melihat semua anak-anak di California kembali ke sekolah,” katanya.
Seperti kebanyakan kanak-kanak di seluruh dunia, sesi persekolahan tahun lalu di California terjejas dengan kelas dilakukan dalam talian dan ramai kanak-kanak tidak mendapat sambungan internet mencukupi,
Seiring dengan negara-negara lain, negara ini berjaya mengawal wabak terburuk awal tahun ini dan sebahagian besar kehidupan penduduk kembali normal.
Tetapi pembelajaran di sekolah kembali terjejas akibat jangkitan yang semakin meningkat dengan lebih 10,000 kes baharu direkodkan setiap hari di negeri ini – peningkatan 10 kali ganda dalam tempoh dua bulan.
Doktor berkata, jangkitan ini dikesan dalam kalangan mereka yang tidak divaksin. – AFP, 12 Ogos, 2021.
Komen