PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli Parlimen parti itu yang masih menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya insaf dan ingat akan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.
Katanya, mereka adalah wakil rakyat yang mengutamakan rakyat, dan bukan wakil kepada pemimpin yang gagal menjaga rakyat, merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat dari Umno sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata ahli Parlimen Umno sepatutnya dapat merasai kegagalan kerajaan kerana yang menderita bukan saja ahli parti tetapi pengundi di kawasan mereka.
Beliau menggesa mereka membuktikan perjuangan untuk rakyat dengan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kembali ke landasan perjuangan Umno yang sebenar.
“Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini,” katanya.
Minggu lalu Umno mengesahkan 14 daripada ahli parlimennya sah menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN, termasuk seorang daripadanya yang langsung tidak pernah menyokong sejak awal.
Dua menteri Umno – Shamsul Anuar Nasarah (tenaga dan sumber asli) dan Noraini Ahmad (pengajian tinggi) – juga letak jawatan daripada Kabinet Muhyiddin minggu lepas.
Umno mempunyai 38 wakil di Dewan Rakyat.
Selepas dua menteri letak jawatan, masih ada tujuh menteri dan lapan timbalan menteri Umno dalam kerajaan termasuk seorang senator. – 11 Ogos, 2021.
Komen