Polis panggil aktivis dalam kes kehilangan pastor


Noel Achariam

Thomas Fann berucap pada acara menyalakan lilin untuk Pastor Raymond Koh pada 8 April. Beliau dan dua yang lain dipanggil beri keterangan pada polis minggu depan. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Mei, 2017.

POLIS memanggil tiga aktivis persatuan sivil untuk menjelaskan keterangan mereka dalam mengaitkan kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga yang lain dengan “Kehilangan dikuatkuasakan”.

Jurucakap Engage Thomas Fann, Sevan Doraisamy dari Suaram dan Rama Ramanathan dari Bersih dimaklumkan untuk hadir ke ibu pejabat polis Bukit Aman pada 24 Mei.

Mereka sebahagian daripada Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) yang ditubuhkan awal bulan ini.

Fann yang juga jurucakap Caged berkata mereka menjangka akan ditahan selepas membuat kenyataan mengenai “Kehilangan dikuatkuasakan” bulan lalu.

“Bila kami memutuskan untuk menggelar ia kehilangan dikuatkuasakan, kami menjangka pihak berkuasa tidak akan menerimanya dengan baik,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Fann berkata mereka akan memberikan kerjasama penuh kepada polis.

“Kami akan pergi bersama peguam. Kami akan memerlukan nasihat mereka.

“Kami akan cakap apa yang sudah pun dikongsi bersama masyarakat umum seperti rakaman CCTV dan KPN mengakui tidak ada penemuan penting dalam kes itu dan tiada perkembangan terkini daripada polis untuk keluarga,” katanya.

Sevan yang juga jurucakap Caged berkata mereka akan tetap berpegang kepada kenyataan yang dibuat mengenai “Kehilangan dikuatkuasakan”.

“Kenapa kehilangan mereka berempat tidak ada perkembangan? Kami bersedia memberi keterangan dan akan bersedia untuk berdialog dengan polis serta bekerjasama bagi memastikan kepulangan semua yang hilang dengan selamat,” katanya.

Caged menghantar laporan kepada Kumpulan Kerja Kehilangan Dikuatkuasakan atau Tidak Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WGEID) mengenai Pastor Koh selepas mendapat kebenaran keluarganya minggu lalu.

Menurut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kehilangan dikuatkuasakan atau paksa berlaku apabila seseorang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh organisasi negeri atau politik atau pihak ketiga daripada pihak berkuasa.

Koh, 62, diculik selepas sekumpulan lelaki terlatih berhenti menahan kereta Honda Accord perak beliau di Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya.

Rakaman CCTV penculikan Koh viral di media sosial, menunjukkan ia dilakukan penculik profesional yang melibatkan lebih 10 lelaki dalam tiga SUV hitam.

Joshua seorang pastor berketurunan Melayu dan isterinya Ruth hilang pada 30 November, 201 sementara Amir Che Mat hilang pada malam 24 November tahun lalu selepas memberitahu anak perempuan sulungnya yang dia hendak keluar. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen