SERAMAI lima juta penduduk di bandar kedua terbesar di Australia diletakkan di bawah perintah duduk di rumah sekurang-kurangnya selama seminggu selepas pihak berkuasa melanjutkan perintah berkurung hari ini setelah gagal mengekang wabak terbaru Covid-19 di Melbourne.
Bandar ini diletakkan di bawah perintah berkurung keenam Khamis lalu selepas kluster varian Delta baharu muncul di sekolah di Melbourne dan merebak dengan cepat.
Daniel Andrews, perdana menteri Victoria berkata, perintah berkurung akan dilanjutkan sehinga sekurang-kurangnya 19 Ogos selepas 20 kes baharu dikesan semalam termasuk beberapa kes “misteri”.
Di Sydney, lebih lima juta orang menjalani perintah duduk di rumah di minggu ketujuh yang kini dijadualkan kekal hingga akhir bulan Ogos.
New South Wales mencatatkan 344 kes baharu pada Rabu menjadikan jumlah wabak yang bermula di Sydney pada pertengahan Jun lebih dari 6,100 kes.
Ratusan ribu penduduk di luar Sydne termasuk di Newcastle, Byron Bay dan baru-baru ini Dubbo, berada di bawah perintah berkurung selepas kes baharu dikesan dalam beberapa hari terakhir.
Pihak berkuasa menaruh harapan pada usaha vaksinasi baharu, menunjukkan bahawa beberapa sekatan dapat dilonggarkan jika rama yang mendapat vaksin dalam beberapa minggu mendatang.
Australia meraih pujian global kerana berjaya mengawal wabak di peringkat awal tetapi dalam beberapa bulan terakhir terpaksa berusaha mengekang varian Delta yang mudah merebak.
Negara ini mencatatkan lebih 37,000 kes kematian Covid-19. – AFP, 11 Ogos, 2021.
Komen