YANG DiPertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan laporan kononnya beliau meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin letak jawatan kerana sudah tiada majoriti.
“Saya menafikan laporan berita tersebut dan ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah keluarkan apa-apa surat kepada YAB Perdana Menteri seperti yang dilaporkan.
“Berita tersebut adalah berita palsu,” katanya dalam satu kenyataan.
Azhar merujuk berita yang digambarkan sebagai laporan portal Suara TV yang tersebar di media sosial, pagi ini.
Portal Suara TV juga melalui satu kenyataan menafikan ada menyiarkan laporan bertajuk “Perdana Menteri Terima Surat Speaker Maklum Tiada Majoriti, Mahu Bubar Parlimen”.
“Artikel yang tular menggunakan logo Suara TV adalah palsu dan berniat jahat,” kata portal itu.
Muhyiddin dipercayai hilang majoriti selepas sekurang-kurangnya 14 ahli parlimen Umno minggu lalu mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat akuan menarik balik sokongan mereka kepada perdana menteri.
Umno mengesahkan surat akuan yang dibuat antara 29 Julai dan 3 Ogos dipersembahkan ke Istana Negara pada 4 Ogos.
Semalam, PKR turut mengesahkan 35 ahli parlimennya juga mempersembahkan surat akuan menolak kepimpinan Muhyiddin, ketika ada laporan 105 ahli parlimen bukan kerajaan sudah berbuat demikian.
Muhyiddin kini dikatakan hanya mempunyai 100 daripada 220 kerusi di Dewan Rakyat.
Selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri minggu lepas Muhyiddin berkata soal peletakan jawatannya tidak berbangkit.
Beliau sebaliknya mencadangkan agar keabsahannya sebagai perdana menteri diuji melalui undi percaya di Dewan Rakyat pada September ini, dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ahli parlimen pembangkang dan Umno bagaimanapun mendesak usul undi percaya dibuat segera melalui sidang khas Parlimen yang lebih awal sebelum September. – 11 Ogos, 2021.
Komen