KERAJAAN Jerman setuju untuk menamatkan ujian saringan Covid-19 percuma mulai Oktober, sebagai usaha bagi memastikan rakyatnya mendapatkan suntikan vaksin, lapor AFP.
Ujian saringan percuma kepada semua rakyat Jerman dilaksanakan sejak Mac lalu dalam usaha untuk mengembalikan kehidupan biasa secara berfasa.
Mulai Oktober, rakyat Jerman perlu membayar sendiri bagi melakukan ujian saringan Covid-19.
Kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan sehingga tidak boleh divaksin bagaimanapun masih boleh menjalani ujian saringan secara percuma.
Sijil vaksin atau ujian saringan akan diwajibkan kepada orang ramai di restoran, pawagam dan gimnasium.
“Ini adalah tanggungjawab kita semua… menggalakkan vaksinasi kepada seramai yang mungkin,” kata Merkel di Berlin semalam.
Beliau turut menggesa rakyat yang sudah menerima vaksin supaya mengajak ahli keluarga dan rakan untuk mengambil suntikan.
Setakat ini, hanya 55% populasi Jerman lengkap menerima dua dos vaksin, manakala 62.5% lagi menerima satu dos.
Walaupun, Merkel sebelum ini menegaskan orang ramai tidak harus diwajibkan vaksinasi, tetapi pengkritik melihat keputusan itu sebagai tekanan kepada individu yang enggan divaksin.
Kalangan ahli politik juga berpandangan ia akan membebankan golongan yang tidak berkemampuan. – AFP, 11 Ogos, 2021.
Komen