Peniaga restoran bimbang risiko kebenaran makan di premis


Angie Tan

Persatuan dan pengusaha kedai kopi bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 walaupun kerajaan memberi kebenaran makan di kedai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

KEPUTUSAN Putrajaya membenarkan individu lengkap vaksin untuk makan di restoran di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) mempunyai risiko, kata persatuan makanan dan minuman.

Mereka berkata walaupun ia akan membantu merangsang perniagaan tetapi pandemik semakin buruk dan varian Delta, bahkan individu yang divaksinasi lengkap masih berisiko dijangkiti virus.

Operator juga bimbang pekerja mereka dijangkiti.

Wong Teu Hoo, presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura berkata walaupun peraturan dilonggarkan, orang ramai masih takut kerana jumlah jangkitan harian masih tinggi.

“Jika ada kes positif di tempat ini, kami perlu menutup kedai untuk sanitasi dan pengujian yang sangat menyusahkan,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.

Wong berkata masa terbaik untuk dibenarkan makan di kedai adalah ketika Malaysia mencapai imuniti kelompok.

“Walaupun kami buka sekarang, pelanggan akan ragu-ragu untuk makan dan akan terus mengambil langkah mengurangkan risiko jangkitan.”

Bgaimanapun, beliau berpendapat tidak semua kedai makan dapat bertahan dengan hanya perkhidmatan bungkus kerana mereka bergantung pada makan di premis.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada Ahad yang makan di kedai, rentas daerah, aktiviti pelancongan di antara negeri dan aktiviti sukan yang tidak melibatkan kumpulan akan dibenarkan bagi individu yang sudah mendapat vaksin lengkap di negeri-negeri fasa kedua dan seterusnya dalam PPN.

Pada masa ini hanya Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah yang beralih ke Fasa 2 di bawah PPN. Perlis, Sarawak dan Labuan sudah beralih ke Fasa 3, manakala negeri lain  masih dalam Fasa 1.

Wong berkata peniaga bimbang tidak dapat sepenuhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang memerlukan mereka memeriksa sijil digital Covid-19 pelanggan.

“Tidak semua pelanggan akan bersedia bekerjasama.”

Menurut SOP, selain memeriksa sijil digital, pengusaha makanan dan minuman mesti meletakkan notis di bahagian depan kedai yang hanya individu mendapat vaksinasi lengkap dibenarkan makan di premis itu dan semua pekerja juga perlu mendapat vaksin lengkap.

Meja juga mesti mematuhi peraturan jarak sosial dan premis mesti beroperasi dengan kapasiti 50%.

Individu yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca dan Sinovac dianggap sudah diimunisasi lengkap terhadap Covid-19, selepas 14 hari mendapat dos kedua.

Bagi penerima vaksin dosis tunggal seperti CanSino dan Johnson and Johnson, mereka akan dianggap sepenuhnya diimunisasi 28 hari selepas vaksinasi.

Lee Kok Yong, ketua Persatuan Peniaga Kopi, Teh dan Katering Perai berkata walaupun Pulau Pinang dibenarkan makan di kedai, peniaga memutuskan untuk tidak membenarkannya kerana risiko jangkitan.

“Mereka bimbang untuk menjaga SOP kerana akan ada orang ramai pada waktu makan tengahari. Dengan jumlah kes yang disahkan begitu tinggi, mereka juga tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Katanya, 40% daripada 500 kedai kopi dalam persatuan itu memutuskan untuk tidak membenarkan makan di kedai.

“Walaupun akan menarik pelanggan dan mendorong lebih banyak perniagaan, saya rasa ia tidak boleh dibenarkan pada tahap ini, ini bukan masa yang tepat. Virus merebak terlalu cepat dan itu menakutkan.”

Sementara itu, Helen Yap Siew Mooi, presiden Persatuan Peniaga Kedai Kopi Raub, Lipis dan Jerantut berkata di Pahang, sekitar 300 hingga 500 kedai kopi kecil dan besar sedia dibuka untuk makan di kedai.

Beliau berkata larangan makan di kedai selama tiga bulan lalu menjejaskan perniagaan mereka.

“Tiga bulan itu sukar kerana ada yang kehilangan sumber pendapatan. Apabila makan di kedai dibenarkan, saya harap semua orang akan mengikuti SOP.”

Yap menambah, sebahagian besar pemilik kedai kopi adalah warga tua dan tidak mengetahui SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ada banyak pemilik didenda kerana melanggar SOP. Ini kerana mereka tidak mematuhi SOP sanitasi kuman.”

Beliau mencadangkan agar pemilik perniagaan membersihkan premis mereka sekurang-kurangnya tiga kali seminggu apabila aktiviti makan di kedai dibenarkan semula.

“Jika anda memilih untuk buka pada Isnin, Rabu dan Jumaat, hari yang lain perlu digunakan untuk membersihkan kedai. Jika ia dibuka tujuh hari seminggu, tidak akan ada masa untuk melakukannya.”

Yap berkata beberapa pemilik bersetuju dengan cadangannya tetapi yang lain tidak begitu berminat kerana akan menjejaskan pendapatan mereka.

“Buat masa ini, yang paling penting adalah terus sihat. Tidak menjadi masalah jika anda kehilangan sedikit keuntungan selagi perniagaan dapat disambung semula.”  – 11 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen