Pentagon akan wajibkan tentera AS disuntik vaksin Covid-19


Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin berkata Pentagon bercadang untuk mewajibkan semua anggota tentera negara itu mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada pertengahan September. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2021.

PENTAGON semalam umum semua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) wajib mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada pertengahan September, ketika lonjakan jangkitan membabitkan varian Delta.

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin menerusi memo berkata beliau akan meminta Presiden Joe Biden memberi kelulusan dalam tempoh lima minggu, walaupun semua vaksin sedia ada tidak mendapat persetujuan penuh dari Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) AS.

Pada masa ini vakasinasi tidak diwajibkan kepada anggota tentera AS kerana vaksin Covid-19 yang tersedia hanya mendapat kelulusan kecemasan.

Namun, arahan mewajibkan vaksinasi mungkin dilaksana lebih awal jika vaksin Pfizer mendapat kelulusan FDA pada awal September, katanya.

Austin menambah, beliau akan mendapatkan persetujuan Biden sekiranya vaksin Pfizer masih tidak mendapat kelulusan penuh FDA pada pertengahan September.

Biden dalam kenyataan balas berkata beliau menyokong keputusan tersebut.

“Vaksin ini menyelamatkan nyawa. Pengambilan vaksin membolehkan anggota tentera kekal sihat, melindungi keluarga mereka dengan lebih baik dan memastikan pasukan kita sedia beroperasi di mana saja di seluruh dunia,” kata Biden. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS John Kirby berkata, Pentagon berharap dapat menyimpan ratusan ribu dos vaksin.

Pada masa ini, 73% daripada 1.4 juta pasukan petugas barisan hadapan AS sudah disuntik sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Kadar yang rendah itu membimbangkan pegawai AS terhadap kemungkinan virus Covid-19 boleh menjejaskan kesiapsiagaan anggota tentera. – AFP, 10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen