UNDI percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mesti dibentang lebih awal sebelum sidang Dewan Rakyat pada September, kata setiausaha agung Umno.
Ahmad Maslan mencadangkan undian dibentang pada pertengahan bulan ini bagi menentukan sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti atau tidak.
“Yang lebih sesuai, sukacita ingin saya mencadangkan dan ini bukan cadangan saya seorang, juga cadangan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 3 Ogos supaya mengadakan sidang khas lebih awal daripada 6 September untuk mengabsahkan atau tidak mengabsahkan kedudukan perdana menteri supaya perkara itu diselesaikan lebih awal sebelum sidang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi kemungkinan masa yang sesuai pada 15 hari bulan atau pertengahan Ogos supaya ada lebih kurang dua minggu lebih bagi menentukan perdana menteri yang baru,” katanya wawancara di Facebook malam tadi.
Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said pada Jumaat lepas juga menggesa supaya sokongan terhadap Muhyiddin diuji sebelum Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan persidangan Parlimen pada 6 September.
“Bukankah kita harus menyelesaikan usul dan menguji keabsahan kerajaan sebelum Titah Diraja?
“Jika kerajaan gagal mendapat undi percaya, apakah itu bermakna Agong perlu membaca Titah Diraja baharu yang disediakan oleh kerajaan baharu? Kedengarannya agak tidak masuk akal, apatah lagi membuang masa dan tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Dalam perutusan khas minggu lalu, Muhyiddin berkata beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan, namun akan merujuk keabsahannya di Parlimen apabila Dewan Rakyat bersidang September ini.
Umno semalam mengesahkan 14 ahli parlimennya menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional, dan bukan lapan seperti yang disebut dalam kenyataan Muhyiddin minggu lalu.
Surat sokongan tersebut dimuat naik di portal berita rasmi parti itu, Umno Online, semalam.
Ahmad dalam pada itu berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan. – 10 Ogos, 2021.
Komen