JUMLAH suntikan harian vaksin Covid-19 meningkat kepada 465,793 semalam selepas menurun kepada 389,641 sehari sebelumnya, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Sehingga semalam, 38.7% populasi dewasa sudah menerima dos kedua dan 68.2% menerima dos pertama mereka.
Bagaimanapun untuk hari keempat berturut-turut, vaksinasi harian gagal memenuhi sasaran kerajaan sekurang-kurangnya 500,000 suntikan sehari.
Perdan Menteri Muhyiddin Yassin berkata semalam, beliau yakin 80% penduduk dan semua golongan dewasa akan diimunisasi pada akhir Oktober.
Johor mendahului dalam pemberian dos pertama dengan 29,804, diikuti oleh Sabah (26,121), Kedah (24,748) dan Selangor (22,543).
Selangor memberikan dos kedua tertinggi semalam dengan 84,985, diikuti oleh Kuala Lumpur (53,515), Johor (21,332) dan Perak (19,730).
Di Lembah Klang – yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – 6.3 juta penduduk atau 74.3% penduduk menerima dos pertama dan 3.3 juta atau 39.3% sudah divaksin sepenuhnya.
Sehingga 22 Ogos, penduduk Lembah Klang tanpa janji temu boleh hadir ke pusat vaksinasi untuk mengambil suntikan vaksin.
Malaysia melaporkan 17,236 kes baharu Covid-19 semalam.
Lembah Klang terus menyumbang sebahagian besar kes dengan melaporkan 7,307 kes.
Jumlah keseluruhan kes Covid-19 pula sebanyak 1,279,776. – 10 Ogos, 2021.
Komen