Persempadanan baharu kawasan pilihan raya perlu kelulusan Parlimen


Bede Hong

Pakar perlembagaan berkata SPR tidak boleh melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN tanpa kelulusan Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak boleh melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa kelulusan Parlimen, kata pakar perlembagaan.

Bagaimanapun, jika cadangan persempadanan semula itu dibentangkan di Parlimen, ia hanya memerlukan majoriti mudah, atau sekurang-kurangnya 112 undi, untuk meluluskan rang undang-undang itu, yang kemudian akan dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

Barisan Nasional (BN) mempunyai 133 ahli Parlimen.

“SPR buat persempadanan, tetapi Parlimen perlu meluluskannya,” kata pensyarah undang-undang di Universiti Malaya, Azmi Sharom.

Undang-undang memerlukan kelulusan Parlimen untuk perubahan persempadanan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 9 hingga 12 dalam Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, yang berkait dengan peruntukan di bawah Artikel 113.

“SPR tidak boleh mewartakan persempadanan semula,”  kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Badan Peguam Malaysia Surendra Ananth.

“Secara asasnya cadangan SPR untuk melaksanakan persempadanan semula diserahkan kepada perdana menteri, yang akan membentangkan di Parlimen. Jika ia diluluskan, ia kemudian dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dijadikan perintah.

“Jika Parlimen tidak meluluskan, maka perdana menteri boleh memindanya, tetapi ia perlu dibentangkan semula.

“Apa pun, Parlimen perlu meluluskannya sebelum ia boleh dijadikan perintah oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Sidang pertama bagi sesi ke-6 Parlimen ke-13 dijadualkan berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April depan.

SPR pada awal minggu ini mengemukakan notis kedua kajian semula persempadan bahagian pilihan raya bagi negeri Selangor di akhbar utama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2018.

Terdapat 222 kawasan Parlimen dan 576 DUN. SPR boleh melakukan persempadanan semula dalam tempoh lama tahun. Pelaksanaan persempadanan semula yang terakhir ialah pada 2003.

SPR pernah melaksanakan lapan persempadanan semula sejak ia ditubuhkan pada 1957 di bawah Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan. Fungsinya tertakluk di bawah Akta Pilihan Raya 1958, yang juga menetapkan syarat untuk dipatuhi.

SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Majlis Raja-raja. Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah dilantik pada 20 Januari, 2016.

Suruhanjaya itu pada masa ini sedang menjalani proses undang-undang dengan gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) berhubung pelaksanaan cadangan persempadanan semula itu, di mana wakil rakyat pembangkang dan badan pemantau pilihan raya mendakwa berlaku salah pembahagian sempadan.

Persempadanan semula di Selangor, fasa terakhir dalam pelaksanaan di seluruh negara itu ditolak sejak beberapa minggu lalu. Satu permohonan semakan kehakiman difailkan pada Oktober lalu oleh kerajaan negeri Selangor, memohon antara lain, pengisytiharan bahawa SPR melanggar perlembagaan.

Pada 7 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes itu tetapi membenarkan penangguhan sehingga rayuan kes itu selesai. 

Pada 18 Disember, SPR memohon terhadap penolakan itu dan menang di mahkamah rayuan. Antara 27 Disember dan 9 Januari, SPR mengadakan inkuiri tempatan dan notis kedua dipamerkan pada Isnin.

PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos selepas pembubaran Parlimen secara automatik pada 24 Jun. – 19 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • spr telah mengkaji keperluan serta kesan daripada persempadanan ini jika ia benar2 dilaksanakan..jadi tak perlu risau..ianya dilakukan demi memastikan kelancaran proses mengundi..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan