JABATAN Kesihatan Hanoi akan menjalankan ujian saringan Covid-19 besar-besaran terhadap 300,000 penduduk di kawasan berisiko tinggi dan golongan rentan bermula 10 hingga 17 Ogos.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), kumpulan sasaran termasuk penghantar barang, peniaga di pasar harian dan pasar raya, pekerja sanitasi awam, pemandu teksi, serta pekerja perindustrian.
Jabatan itu merancang menggunakan khidmat 1,000 pelajar Kolej Perubatan Hanoi, dan 300 daripadanya ditugaskan mengumpul sampel di Bac Ninh dan Bac Giang, wilayah utama penularan wabak.
Dalam tempoh tiga minggu lalu, 634 daripada 1,369 kes tempatan dikesan termasuk kluster dusun Tho Am di daerah Thanh Tri, kluster Hoa Voi di Quoc Oai, dan kluster pasar Phung di Thach That.
Pada Isnin, Hanoi merekodkan 1,792 jangkitan sejak gelombang keempat melanda negara pada 27 April.
Daripada jumlah tersebut, 1,075 kes adalah jangkitan tempatan dan 717 lagi di kesan di pusat kuarantin atau lokasi yang dikenakan sekatan. – Bernama, 10 Ogos, 2021.
Komen