PUSAT Penilaian Covid-19 (CAC) di kawasan perumahan disaran agar dipindahkan ke tempat lain bagi mengelakkan risiko jangkitan, kata pakar kesihatan.
Mereka bagaimanapun berkata, pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) di CAC boleh menjamin keselamatan orang ramai.
Penduduk juga menyuarakan kebimbangan, ada yang berkata CAC di kawasannya macam zon perang kerana terlalu ramai datang untuk disaring dan dimasukkan ke hospital.
Sejak Julai, kes harian negara terus menerus menyaksikan peningkatan ketara lebih 10,000 jangkitan dengan Selangor sentiasa paling tinggi.
Kesesakan CAC di Petaling dan Klang menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk kerana individu yang diuji positif datang untuk disaring.
CAC kawasan Petaling terletak di Stadium Malawati Shah Alam sementara CAC Klang di Dewan Sukan Klang, Taman Sri Andalas.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye memberitahu The Malaysian Insight langkah berjaga-jaga penting supaya tiada risiko tambahan buat penduduk berdekatan.
“Secara dasarnya, CAC patut jauh dari perumahan. Saya sudah beri beberapa cadangan tentang CAC,” katanya.
Dr Lee menyarankan kes yang disahkan dinilai melalui panggilan telefon atau video, bukannya terus pergi ke CAC. Pesakit yang tidak perlu masuk hospital dan dipantau di rumah patut dipantau melalui telefon setiap hari.
“Selain itu, pesakit yang perlu dimasukkan ke hospital atau dihantar ke pusat kuarantin berisiko rendah perlu dijauhkan dari CAC,” katanya.
Pandangan Dr Lee itu disambut baik Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia.
Beliau berkata pematuhan ketat SOP satu kewajipan supaya jangkitan tidak menular.
“Selagi semua SOP dipatuhi oleh orang ramai dan mereka di CAC, sepatutnya tidak jadi masalah. Masalahnya sebab tidak patuh SOP,” kata Dr Malina.

Sementara itu, ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata penduduk sekitar CAC Dewan Sukan Klang telah menyuarakan kebimbangan sejumlah besar dijangkiti di kawasan mereka.
Hasilnya, beliau berkata, Dewan Sukan Klang CAC ditutup dan sebuah pusat baharu dibuka di Pelabuhan Klang.
“Orang ramai bimbang. Oleh itu, pusat baharu yang jauh dari kawasan perumahan dibina di Pelabuhan Klang,” katanya.
Bagaimanapun, ahli Parlimen DAP itu berkata beliau tidak diberitahu bila CAC di Dewan Sukan Klang dibuka dan bila ditutup.
“Kalau mereka tanya saya, saya akan bagi banyak cadangan. Ada banyak gudang kosong dan jauh dari orang ramai yang boleh kita guna di Klang,” tambahnya.
Charles mengaku satu CAC sahaja tidak cukup.
“Klang kawasan yang besar. Satu CAC tak cukup. Itulah sebabnya orang ramai serbu tempat itu,” katanya.
Seorang penduduk di Taman Seri Andalas memberitahu The Malaysian Insight dia risau keselamatan keluarganya ketika CAC digunakan.
Penduduk risaukan keselamatan
Norian Che Ahmad, jurutera berusia 45 tahun, mengingat kembali detik waktu dia terpaksa beli barang keperluan di pasar lain kerana risau dijangkiti jika ke pasar berdekatan rumahnya.
“Saya rasa tak selesa sebab orang ramai beratur panjang. Saya risau keselamatan saya.”
“Saya terpaksa beli barang jauh dari kawasan saya supaya dapat kurangkan risiko, tapi saya tetap kena cuci tangan, pakai pelitup muka,” katanya.
Sementara itu, seorang pesara yang tinggal berhampiran Stadium Malawati menggambarkan keadaan di CAC seperti zon perang.
“Beribu-ribu orang positif datang dan saring dalam sehari.
“Bukan saya seorang yang risau. Semua jiran saya, semua orang di sini takut.”
Namun, lelaki itu mengakui keadaan di CAC itu kini terkawal.
“Sekarang sudah baik berbanding sebelum ini. Mungkin sebab ramai bising merungut dan ada cadangan baru,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan bahawa ribuan pesakit terpaksa menunggu lebih 10 jam untuk menjalani penilaian di Stadium Melawati, sementara di Klang, pegawai perubatan tambahan dikerahkan untuk memastikan agar keadaan terkawal.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman berkata bahawa langkah-langkah sudah diambil untuk memperbaiki keadaan di CAC.
“Kita sudah mengaktifkan laluan – yang pertama untuk pesakit baharu, yang kedua untuk individu dan kanak-kanak berkeperluan khas serta laluan ketiga untuk kebenaran kuarantin di rumah, dan semuanya berjalan lancar.
“Sebagai contoh, mereka yang mendapat kelulusan kuarantin di rumah dapat terus memasuki stadium, ini mengelak dari mereka menunggu di luar.
“Untuk kes kritikal di CAC, kami mempunyai kemudahan rawatan sebelum mereka dihantar ke hospital,” katanya.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga memperkenalkan CAC maya bagi penduduk di Lembah Klang mendaftar masuk tanpa perlu pergi ke pusat-pusat penilaian secara fizikal.
Malaysia mencatatkan 17,236 kes baharu Covid-19 semalam dengan 212 kematian dicatatkan. Lembah Klang kekal dalam senarai teratas dalam jumlah kes dan kematian harian. – 10 Ogos, 2021.
Komen