Aktivis berganti, mogok lapar diteruskan


Ravin Palanisamy

Presiden Gerakan Belia Punjabi Malaysia Gurpeet Singh telah mengambil alih mogok lapar dimulakan oleh Nathaniel Tan, menyambung tuntutan supaya kerajaan segera selesaikan maslaah berkaitan kesihatan dan ekonomi rakyat Malaysia.

PRESIDEN Gerakan Belia Punjabi Malaysia Gurpreet Singh telah menggantikan aktivis Nathaniel Tan untuk menyambung mogok lapar menuntut kerajaan selesaikan segera masalah berkaitan kesihatan dan ekonomi rakyat.

Gurpreet yang menggantikan Tan pada pukul 5 petang ini, berkata keadaan Covid-19 sangat membimbangkan dan beliau tidak boleh berdiam diri melihat negara tercinta tumbang dalam perang melawan Covid-19.

“Kematian meningkat dan kes harian yang tinggi sangat membimbangkan. Saya sudah mula rasa keadaan lemah semakin meningkat kerana semua usaha kita gagal.

“Oleh sebab saya tidak sampai hati untuk duduk dan lihat negara saya tumbang, saya akan ambil inspirasi Tan untuk sambung perjuangannya.

“Saya akan berpuasa tanpa had dari jam 5 petang, 9 Ogos. Dari sudut ini, saya tidak akan menjamah makanan dan akan ikut nasihat pasukan saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, menambah tindakannya tidak ada kena mengena dengan politik.

Gurpreet berkata beliau akan meneruskan lima tuntutan yang dikemukakan Tan sebelum ini.

“Inilah percikan yang dimulakan Tan dan kami mohon semua rakyat Malaysia turut serta kerana kami tidak buat untuk diri sendiri tetapi untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan, apa sahaja yang kita tuntut akan didengari pihak berkenaan,” kata Gurpreet melalui pesanan video.

Tan, memulakan mogok lapar pada 4 Ogos, hanya minum dan berkhemah di kawasan pejalan kaki di lot kedai di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Lima tuntutan Tan seperti berikut:

1. Bagi kuasa membuat keputusan sepenuhnya dalam semua hal Covid-19 kepada pakar-pakar, atau adakan sidang Parlimen dengan serta-merta.  

2. Menyediakan RM500 juta untuk peralatan perubatan di hospital Covid-19.

3. Membenarkan setiap frontliner untuk mendedahkan situasi sebenar tanpa tapisan atau tindakan, dan menerbitkan semua data berkenaan Covid-19 tanpa sebarang tapisan.

4. Menerbitkan senarai penuh syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi.

5. Bekalan N95 dan sanitiser di semua hospital dan balai polis secara percuma. – 9 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen