Dr Mahathir, Mukhriz akan jawab pertuduhan di mahkamah, kata peguam


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir dan Mukhriz telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah, kata peguam mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 9 Ogos, 2021.

PENGERUSI Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan presiden Mukhriz Mahathir akan menjawab semua pertuduhan mengenai penglibatan dalam perarakan ke Parlimen pada 2 Ogos lalu di mahkamah nanti, kata peguam mereka.

Peguam mereka, Mior Nor Haidir Suhaimi dan Muhammad Rafique Rashid Ali, dalam satu kenyataan berkata ahli Parlimen Langkawi dan ahli Parlimen Jerlun itu telah memberi kerjasama ketika disoal siasat oleh pegawai polis Bukit Aman petang ini di Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Empat orang pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas Bukit Aman telah hadir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi tujuan merekod keterangan Dr Mahathir dan Mukhriz.

“Kehadiran pegawai-pegawai polis tersebut adalah berkaitan satu siasatan mengenai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 2 Ogos 2021.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Dr Mahathir dan Mukhriz telah memberi kerjasama sepenuhnya dan menyatakan akan menjawab segala pertuduhan apabila hadir di mahkamah,” kata peguam meraka dalam satu kenyataan bersama petang ini.

Isnin lepas, selepas mesyuarat khas Dewan Rakyat ditangguhkan susulan jangkitan Covid-19 di situ, ahli Parlimen pembangkang dihalang polis daripada masuk ke bangunan Parlimen malah diugut untuk ditahan di sekatan jalan raya.

Kesemua mereka dihalang masuk ke Parlimen yang sepatutnya hari terakhir persidangan bagi membincangkan langkah-langkah Covid-19 dan pengisytiharan daurat.

Parlimen ditutup berikutan arahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai apabila terdapat jangkitan baharu Covid-19 melibatkan kakitangan Parlimen.

Sebelum pengumuman berkenaan, Parlimen ditangguhkan sebanyak lima kali pada 29 Julai apabila ahli Parlimen pembangkang menuntut kerajaan menjelaskan berkenaan isu pembatalan Ordinan Darurat yang tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang lain dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk disoal siasat berkenaan isu sama.

Ahli Parlimen lain yang dipanggil hari ini ialah Tan Kok Wai (Cheras), William Leong (Selayang), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Charles Santiago (Klang), Fuziah Salleh (Kuantan), Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Wong Chen (Subang) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru). – 9 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen