TENGKU Azlan Sultan Abu Bakar hari ini mengumumkan keluar Bersatu untuk kembali menyertai Umno, ketika ahli Parlimen parti itu minggu lalu menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Beliau masuk Umno semula kerana yakin ia satu-satunya parti yang menjadi “tunjang perjuangan orang Melayu dan Islam”.
“Saya membuat keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan parti Umno yang begitu lama saya sertai sebelum ini kerana saya yakin dan percaya parti Umno merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam,” katanya, seperti dipetik Umno Online.
Tengku Azlan turut mengumumkan letak jawatan ketua Bersatu Temerloh.
Pengumumannya dibuat di hadapan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.
Menurut Tengku Azlan, keputusannya hari ini didorong perselisihan pandangan antara kerajaan Muhyiddin dan Istana Negara berhubung pemansuhan Ordinan Darurat.
“Sebagai rakyat Malaysia kita mesti mempertahankan perlembagaan negara tanpa mengira fahaman politik.
“Kita seharusnya mendukung Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan berdasarkan yang telah termaktub dalam Rukun Negara. Sesungguhnya Perlembagaan Negara adalah sebuah institusi tertinggi dalam negara kita,” katanya.
Tengku Azlan adalah adik kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sekali gus bapa saudara kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Jerantut selama tiga penggal antara 1999 hingga 2013. Beliau pernah juga jadi timbalan menteri pengangkutan antara 2004 hingga 2008.
Beliau menyerahkan borang permohonannya untuk masuk Umno melalui bahagian Paya Besar kepada Wan Rosdy.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah adalah antara kumpulan ahli Parlimen Umno yang menyokong kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional selaras dengan ketetapan parti sebelum ini.
Beliau hadir sama semasa pengumuman sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Jumaat lepas. – 9 Ogos, 2021.
Komen