Longgar SOP saja tak cukup untuk pulih ekonomi, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemulihan ekonomi tidak hanya bergantung kepada melonggarkan sekatan pergerakan tetapi perlu disokong dengan bantuan RM45 bilion dari kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.

KEPUTUSAN kerajaan untuk melonggarkan sekatan pergerakan bagi penerima dua dos vaksin Covid-19 tidak akan berhasil tanpa suntikan dana tambahan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata pemulihan ekonomi tidak hanya bergantung kepada melonggarkan sekatan tetapi perlu disokong dengan bantuan RM45 bilion dari kerajaan.

“...Tanpa suntikan dana tambahan tidak ada bezanya dengan meminta orang yang patah kaki bergerak tanpa kerusi roda.

“Muhyiddin Yassin perlu mengambil peluang untuk melakukan sesuatu yang konstruktif kepada rakyat walaupun dia sudah tidak memiliki keabsahan untuk kekal sebagai perdana menteri berikutan kehilangan majoriti parlimennya. 

“Menyuntik tambahan RM45 bilion untuk rakyat akan memberinya dividen politik yang lebih baik daripada cubaan ‘membeli, sokongan daripada setiap ahli Parlimen dengan jawatan atau kedudukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, daripada dana tambahan tersebut, RM4 bilion boleh diperuntukkan untuk sistem sokongan kesihatan, menambah lebih banyak katil unit rawatan rapi (ICU), meningkatkan Program Imunisasi Kebangsaan dan pelaksanaan skala besar FTTIS (Cari, Uji, Jejak, Kuarantin dan Sokongan) berserta vaksinasi. 

Sehingga kini, sejumlah lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion diumumkan Putrajaya sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Lim, yang juga bekas menteri kewangan juga berkata Putrajaya perlu mengambil langkah berani memansuhkan faedah moratorium automatik 6 bulan pinjaman bank untuk semua peminjam kecuali kumpulan T20.

Dalam pada itu berliau mencadangkan supaya bantuan kebajikan masyarakat perlu dinaikkan kepada RM1,000 setiap bulan, peruntukan RM6 bilion bagi insentif upah dan geran RM30 bilion untuk sektor perniagaan.

Semalam, Muhyiddin umum kemudahan rentas daerah, makan di premis restoran dan pelancongan dalam negeri dibenarkan bagi negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk individu lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, berkuatkuasa esok.

Individu yang lengkap divaksin di negeri terbabit juga dibenarkan menjalankan aktiviti sukan individu, katanya.

“Bantuan kegiatan ekonomi tidak boleh dilaksanakan secara terpisah atau dalam silo dengan hanya bergantung kepada pelonggaran sekatan bagi mereka yang telah divaksinasi penuh. 

“Perlu ada usaha keseluruhan masyarakat yang memerlukan bantuan kewangan keseluruhan kerajaan,” jelas Lim. – 9 Ogos, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen