SEMBILAN puluh peratus populasi dewasa di Johor dijangka lengkap menerima dua dos vaksin menjelang akhir September, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai dengan pertambahan bekalan vaksin bulan ini dan bulan depan di samping pembukaan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) baharu di negeri itu.
“Dengan pembukaan PPV baharu, kapasiti suntikan vaksin di Johor yang kini 71,000 dos sehari membabitkan 259 PPV, dijangka meningkat kepada 90,000 dos sehari bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak PPV Iskandar Malaysia Studios di Johor Bahru, hari ini.
Cadangan PPV baharu termasuk PPV Iskandar Malaysia Studios yang akan mempunyai kapasiti pemberian vaksin sebanyak 7,000 dos sehari.
Selain itu, Khairy berkata salah satu cadangan lain adalah mewujudkan PPV pandu lalu di Arena Larkin bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Itu baru cadangan, Senator Ras Adiba Mohd Radzi membuat lawatan untuk melihat tempat berkenaan (Arena Larkin) dan beliau berpendapat kawasan itu sesuai. Yang pasti, saya nak buka satu PPV pandu lalu OKU di Johor,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Terdahulu, Khairy menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membentangkan jadual penghantaran vaksin ke negeri itu.
Sementara itu, Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda bertitah, Johor akan menerima 2 juta bekalan dos vaksin bulan ini. – Bernama, 8 Ogos, 2021.
Komen