Covid-19 cetus tekanan sosial namun Singapura mampu bangkit, kata PM Lee


Lee perlu tangani kebimbangan rakyat Singapura terhadap kehadiran pekerja asing. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata Covid-19 mencetuskan tekanan hebat terhadap rakyat negara itu dan menyerlahkan lagi isu besar yang terpaksa ditangani republik itu, termasuk isu kebimbangan rakyat terhadap kehadiran pekerja asing.

“Saya memahami kebimbangan dan masalah ini. Kerajaan sedang menanganinya. Kita perlu menyesuaikan dasar kita untuk menguruskan kualiti, jumlah dan konsentrasi warga asing di Singapura,” kata Lee dalam perutusan Hari Kebangsaan 2021, hari ini.

“Jika kita dapat menanganinya dengan baik, kita boleh terus mengalu-alukan kehadiran pekerja asing dan imigran baharu, seperti sepatutnya,” katanya.

Menurut Lee, menoleh ke belakang adalah bertentangan dengan kepentingan asas Singapura.

“Ia akan menghakis kedudukan Singapura sebagai hab global dan serantau. Ia menyebabkan kita kehilangan peluang dan pekerjaan. Malah, ia bertentangan dengan nilai keterbukaan dan kesediaan kita menerima mereka yang berbeza dengan kita.

“Pemegang pas kerja membantu ekonomi kita serta mencipta lebih banyak peluang untuk kita. Apabila kita menggabungkan tenaga kerja kita dengan kemahiran dari seluruh dunia, maka lebih banyak syarikat akan melabur di sini dan ia mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Singapura.

“Keadaan tidak menentu akibat Covid-19 ini memburukkan kebimbangan ini. Pemegang pas kerja mengukuhkan lagi pasukan, tapi ia juga mungkin bersaing secara langsung dengan pekerja tempatan. Ada kalanya warga Singapura berasa mereka tidak mendapat layanan adil, contohnya apabila mereka tidak mendapat peluang kerja atau tidak dinaikkan pangkat.

“Di luar tempat kerja, dari semasa ke semasa timbul pergeseran sosial, kerana sesetengah pemegang pas kerja dan keluarga mereka, tidak dapat mengadaptasi sepenuhnya norma sosial kita, tidak benar-benar dapat berintegrasi dalam masyarakat,” katanya sambil menyatakan kebimbangan rakyat Singapura berhubung perkara ini perlu ditangani.

Selain kebimbangan terhadap kehadiran ramai pemegang pas kerja, perdana menteri turut menyentuh aspek kadar gaji rendah selain isu kaum dan agama, dua perkara yang perlu segera ditangani republik itu.

“Usaha kita membina negara berlangsung sejak sekian lama, tapi perjalanan ini kita perlu teruskan. Dari semasa ke semasa, krisis baharu akan muncul untuk menguji kekentalan dan perpaduan kita.

“Bagaimanapun, Covid-19 membuktikan kita boleh berdepan wabak itu dengan keazaman dan kesungguhan serta kekal menjadi rakyat yang bersatu padu,” kata Lee. – Bernama, 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen