Ismail Sabri mahu jadi PM? Penganalisis berbeza pandangan


Diyana Ibrahim

Penganalisis memberi pandangan usaha Ismail Sabri meraih sokongan ahli Parlimen menyokong Muhyiddin Yassin menyerlahkan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri, dan ada pula berpandangan sebaliknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2021.

KALANGAN penganalisis berbeza pandangan ke atas usaha Ismail Sabri Yaakob meraih sokongan ahli Parlimen untuk mempertahan kerajaan pada waktu ini.

Ada yang melihat usaha itu menyerlahkan cita-cita naib presiden Umno itu menjadi perdana menteri selepas merangkul jawatan timbalan dan ada yang berpandangan sebaliknya.

Kalangan penganalisis ini memberitahu The Malaysian Insight, andaian itu berdasarkan perpecahan dan masalah menimpa Umno waktu ini serta tindakan disiplin yang bakal menanti Ismail.

Seorang penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata agenda Ismail untuk menjadi perdana menteri itu jelas dilihat melalui usahanya mengumpul sokongan ahli Parlimen BN.

Penganalisis Universiti Malaya itu memerhatikan bahawa sokongan itu hanya dihimpun untuk mengekalkan kerajaan dan bukannya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana kumpulan ahli Parlimen itu tidak menyebut menyokong perdana menteri namun hanya mengulangi bahawa mereka akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN), katanya.

Ia antara perkara yang dilihatnya dalam sidang media pada hari Jumaat sewaktu Ismail tampil bersama 17 lagi ahli Parlimen BN bagi mengumumkan sokongan agar kerajaan kekal buat masa ini.

Beliau berpendapat Ismail bertindak demikian dengan harapan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Muhyiddin gagal meraih majoriti dalam sidang Parlimen pada September.

 “Secara taktikalnya, dalam sidang akhbar tersebut perlu disedari bahawa sepanjang sidang tersebut tidak pernah disebut menyokong Muhyiddin.

“Tetapi yang disebut ialah mempertahankan kerajaan PN untuk terus beroperasi. Bermakna secara tersirat Ismail Sabri dan sekutunya seolah-olah mahu kekalkan PN tetapi menolak PM secara halus.

“Tidak mustahil jika kalah undi percaya di Parlimen nanti Ismail Sabri mahu jadi PM menggantikan Muhyiddin sebab itu beliau mahu PN kekal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditanya adakah timbalan presiden Umno itu akan berdepan dengan tindakan disiplin parti atas usaha meraih sokongan itu, Awang Azman berkata perkara itu sudah dijangka akan berlaku.

Malah seluruh kumpulan ahli Parlimen Umno yang turut menyokong bersama Ismail Sabri juga berdepan dengan nasib sama, kata pensyarah itu.

“Memang mereka secara terbuka menyokong Muhyiddin, terutama ahli Umno dijangkakan diabaikan dan tidak dicalonkan semula oleh parti,” katanya.

Penganalisis Awang Azman Awang Pawi berkata agenda Ismail untuk menjadi perdana menteri jelas dilihat melalui usahanya mengumpul sokongan ahli Parlimen BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2021.

Perkara itu juga diakui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata lembaga disiplin akan meneliti tindakan ke atas Ismail Sabri kerana menentang keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ia berhubung keputusan MKT Umno pada bulan lalu yang mengarahkan ahli Parlimen parti itu menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Presiden Umno Zahid Hamidi kemudian pada Selasa tampil dalam sidang media bersama 10 ahli Parlimen itu dengan pendirian tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengumumkan Muhyiddin hilang keabsahan menjadi perdana menteri.

Tindakan itu dilancarkan sebaik sahaja Muhyiddin mengumumkan dalam satu perutusan khas bahawa beliau akan membawa usul ke Parlimen untuk mengungkai ordinan darurat.

Keesokan harinya, Muhyiddin dalam satu lagi perutusan khas berkata, beliau akan membenarkan satu usul percaya ke atasnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

Menurutnya, perkara itu sudahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,

Kesanggupan Muhyiddin untuk membenarkan undian bagi menyokong perdana menteri itu menjadi alasan oleh Ismail Sabri untuk tampil menyokong agar pentadbiran dipertahan buat masa ini.

Dalam sidang media semalam, Ismail yang juga timbalan perdana menteri berkata mereka menyokong agar kerajaan hari ini diteruskan kerana baginda sudahpun memperkenan usul itu.

Oleh itu, sebarang usaha untuk mempersembahkan bukti sokongan majoriti untuk meruntuhkan kerajaan sedia ada juga bertentangan dengan perkenan dan keputusan baginda, katanya.

Mengulas perkara itu, penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar pertentangan dua kem itu jelas menunjukkan perpecahan dalam Umno.

Namun beliau melihat Zahid tetap berkuasa dalam parti dan mampu menggagalkan penentangan dari kumpulan diketuai Ismail, walaupun puak itu menguasai jawatan dalam kerajaan.

“Saya fikir Umno akan memulakan tindakan prosiding displin terhadap Ismail Sabri dan kumpulan yang menyokongnya.

“Umno kini sudah berpecah, presidennya yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan telah hilang kepercayaan daripada ahli parti.

“Namun sejak beliau memegang jawatan parti, Zahid boleh menggunakan mekanisme parti untuk mengagalkan sebarang tindakan yang menentang keputusannya,” katanya.

Penganalisis Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb juga menjangka Ismail dan kumpulan pro-PN dalam Umno kemungkinan akan dikenakan tindakan disiplin dan dikeluarkan dari parti.

Beliau menjangka kumpulan tersebut akan menerima nasib sama seperti dialami penyokong bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dalam parti itu.

Azmil berkata, destinasi yang dapat dituju Ismail dan pengikutnya tidak lain dari parti Bersatu yang juga menerima kumpulan Azmin.

“Sudah nampak tanda-tanda yang beliau akan membawa keluar kem PN dari parti. Untuk ahli Umno berpindah ke Bersatu tiada masalah dari segi ideologi.

“Cuma masalahnya bila Pilihan Raya Umum nanti berebutkan pengundi Melayu yang sama. Sama seperti Semangat 46 dulu tapi bezanya sekarang Bersatu yang memegang tampuk kekuasaan,” katanya.

Namun, beliau tidak yakin Ismail bercita-cita menjadi perdana menteri melalui gerakan tersebut dengan melihat kepada perkembangan kerjaya dan sikapnya sebagai pengikut yang taat.

“Saya melihat beliau seorang yang taat kepada ketua dan dalam konteks ini adalah perdana menteri sekarang,” katanya. – 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen