Speaker Pulau Pinang akan jelaskan sebab tolak usul ‘cuti’ BN


Looi Sue-Chern

Speaker DUN Pulau Pinang Law Choo Kiang dijangka memberi penjelasan mengapa menolak usul wakil rakyat BN untuk mendesak ketua menteri bercuti jika didakwa atas kesalahan jenayah. – Gambar Facebook, 18 Mei, 2017.

ISNIN depan, mata bakal tertumpu pada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Law Choo Kiang.

Beliau dijangka memberi penjelasan mengapa tidak membenarkan dua usul Barisan Nasional (BN) untuk memaksa ketua menteri, penjawat awam dan pentadbir bercuti jika mereka didakwa dengan kesalahan jenayah.

“Saya akan jelaskan keputusan saya di Dewan. Saya tidak boleh komen sekarang, kerana menghormati Perintah Tetap dan wakil rakyat. Ia mungkin pada Isnin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Persidangan DUN akan bermula esok dengan majlis perasmian oleh Gabenor Pulau Pinang, tetapi ia dijangka ditangguhkan selepas itu dan bermula pada Isnin depan.

Usul itu menyasarkan kepada ketua menteri oleh ketua pembangkang Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) dan satu lagi usul daripada Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong).

Usul itu membuatkan speaker dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) serba salah. Jika dibenarkan, ia akan meletakkan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan wakil rakyat Pakatan Harapan dalam keadaan kekok, membangkitkan soalan bagaimana mereka akan mengundi untuk usul itu, di mana ia tanpa merit.

Lim sedang berdepan perbicaraan kes rasuah berhubung pembelian rumah banglonya yang dibeli dengan harga rendah pada 2014. BN mendesak supaya beliau bercuti.

Kini usul itu tidak dibenarkan untuk dibentangkan, dan speaker daripada PKR itu perlu menjelaskan mengapa beliau menolaknya dan menjawab tuduhan yang beliau sebahagian PH.

Wakil rakyat BN, Farid berkata keputusan itu mungkin terpulang kepada speaker tetapi kerajaan negeri yang “ikhlas dalam mengguna pakai CAT (kecekapan, akauntabiliti, ketelusan)” perlu membenarkan usul itu dibentangkan dan dibahaskan.

“Ini ada kaitan dengan integriti penjawat awam dan pentadbir. Usul itu bertujuan memudahkan penjawat awam lain menjalankan siasatan,” katanya.

Seorang Adun PKR yang enggan namanya didedahkan berkata kepada The Malaysian Insight Umno “bijak” kerana usul itu meletakkan PH dalam keadaan “antara batu dan tempat keras”.

Bagaimanapun, ketua menteri berkata ia ditolak mungkin kerana kesnya masih tertangguh di mahkamah.

“Jika saya diminta beri penjelasan di Dewan, mungkin ada isu sub judice kerana usul berkenaan menyentuh kes itu.

“Sebagai peguam, Jahara patutnya tahu. Jika anda hanya ditahan dan tidak didakwa, itu berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lim enggan mengulas usul yang ditolak itu, berkata beliau juga mungkin berdepan kesalahan menghina mahkamah kerana membuat komen mengenai kesnya sendiri.

“Saya berdepan dua pertuduhan. Saya tidak boleh kata apa lagi. Saya akan tunjukkan bukti di mahkamah.

“Biar speaker jelaskan rasional keputusannya itu (tidak membenarkan usul BN),” a.

Lim berkata tidak timbul isu DUN berpihak kepada sesiapa atau tidak berlaku adil kepada mana-mana parti.

“Anda tidak boleh bandingkan ini dengan Dewan Rakyat. Tidak ada dakwaan terhadap Perdana Menteri Najib Razak.

“Tetapi tanpa pertuduhan sekalipun, anda tidak boleh bincang fasal skandal 1MDB di Dewan Rakyat,” katanya yang juga ahli Parlimen Bagan.

Beliau merujuk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia tahun lalu yang melarang ahli Parlimen membahaskan tuntutan saman dikemukakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyita aset berkaitan kes kontroversi 1MDB.

Pandikar berkata membahaskan perkara itu boleh menjadi sub judice. Keputusannya itu dibantah oleh ahli Parlimen PH.

Najib dituduh terbabit dalam skandal 1MDB, satu tuduhan yang berkali-kali dinafikannya. Sehingga kini tidak ada dakwaan dikenakan terhadapnya.

“Dalam kes ini, ada pertuduhan. Anda tidak boleh membandingkannya,” kata Lim.

Lim didakwa tahun lalu kerana mengezonkan semula dua tanah pertanian di Balik Pulau kepada perumahan, yang dikatakan memberi manfaat kepada pemilik Magnificent Emblem.

Beliau dikenakan tuduhan kedua kerana membeli banglo di Jalan Pinhorn pada nilai RM2.8 juta, iaitu di bawah harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai daripada ahli perniagaan Phang Li Koon. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen