Unit Movak ke kawasan berisiko banjir, kata Zuraida


Movak mempunyai unit mobil namun ketika ini masih menunggu bekalan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.

PROGRAM Mobilasi Vaksin Komuniti (Movak) akan menggerakkan unit mobilnya ke kawasan luar bandar di seluruh negara terutama yang berisiko dilanda banjir dalam masa terdekat bagi membantu mempercepat proses vaksinasi penduduk di lokaliti terbabit.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, berkata kaedah itu juga bagi memudahkan penduduk di kawasan luar bandar mendapatkan suntikan vaksin.

“Movak juga ada unit mobil namun ketika ini, kita masih menunggu bekalan vaksin maka kita tidak gerakkan lagi. Bagaimanapun, kita akan gunakan unit mobil ini untuk turun ke kawasan luar bandar seperti di pedalaman kerana mereka (penduduk) nak datang (ke pusat pemberian vaksin) pun susah.

“Seperti di Kelantan, kebiasaannya pada hujung tahun ada kemungkinan berlaku banjir maka kita bersedia untuk sasarkan tempat yang cenderung dilanda bencana ini dan untuk kita turun ke sana serta beri suntikan (vaksin Covid-19),” katanya sambil menegaskan unit mobil juga akan memfokus kepada penduduk di perkampungan Orang Asli.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Koordinasi Sukarelawan Komuniti (Movak Statik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Movak yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Zuraida berkata sebanyak 70 pusat panggilan ditubuh bagi membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober ini.

“Sukarelawan Movak akan menghubungi penerima (suntikan vaksin) untuk mengingatkan mereka supaya hadir (janji temu) dan sekiranya tidak boleh hadir, kita akan bantu untuk dapatkan pengangkutan,” katanya.

Menyentuh pendekatan KPKT bagi membantu golongan peniaga kecil serta peruncit dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan sejumlah 500,000 orang daripada kumpulan itu menerima suntikan vaksin menjelang Oktober ini.

“Ini satu pendekatan yang lebih besar secara keseluruhan, sebab itu Movak diwujudkan untuk memberikan vaksinasi kepada peniaga kecil serta peruncit di seluruh negara kerana apabila mereka sudah diberi vaksin dan bila kerajaan buka (sektor perniagaan) nanti, maka mereka boleh terus berniaga,” katanya.

Zuraida berkata, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin turut memperuntuk bekalan vaksin bagi melaksanakan vaksinasi kepada golongan itu. – Bernama, 8 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen