JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi program JPJ Prihatin, akan terus menyantuni golongan pemandu lori, bas dan kereta sewa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, berkata inisiatif sebagai tanda keprihatinan JPJ dan PPIM itu membabitkan pemberian sumbangan berbentuk bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.
“Di Kelantan sahaja, kami dengan kerjasama Pengusaha Kenderaan Perdagangan Negeri Kelantan menyumbang 150 bakul makanan yang diharap dapat meringankan beban mereka yang hilang pendapatan akibat pandemik.
“Kita tahu pandemik ini menjejaskan pendapatan terutama mereka yang terbabit dalam sektor pengangkutan kerana tiada aktiviti rentas sempadan,” katanya kepada pemberita, di Kota Bharu hari ini.
Sementara itu Zailani berkata, seiring dengan seruan kerajaan, JPJ melaksanakan Ops Patuh Covid-19 dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang memberi fokus kepada aspek keselamatan jalan raya serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, operasi meliputi kenderaan perdagangan dan persendirian selaras dengan kuasa mengkompaun di bawah Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Sepanjang Ops Patuh Covid-19 bermula awal Januari lalu, sebanyak 55 kes direkod di seluruh negara dengan kesalahan dikesan membawa lebih penumpang bagi kenderaan persendirian mahupun pengangkutan awam.
“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan kod QR, tiada buku rekod penumpang, tiada alat saringan suhu dan tiada alat sanitasi tangan,” katanya. – Bernama, 8 Ogos, 2021.
Komen