BRUNEI melaksanakan sekatan ketat untuk mengekang penularan Covid-19 selepas merekodkan kes pertama jangkitan tempatan sejak lebih setahun tiada kes.
Tujuh kes jangkitan tempatan dilaporkan, kata Kementerian Kesihatan Brunei semalam, menyebabkan kerajaan menutup semua tempat ibadat dan menangguhkan majlis sosial selama dua minggu.
Himpunan awam juga dihadkan kepada hanya 30 orang pada satu-satu ketika, sekolah beralih kepada pendidikan dalam talian dan restoran dilarang menjual makanan untuk makan di kedai.
Negara kesultanan Islam itu antara negara yang “bebas” koronavirus, hanya melaporkan tiga kematian sejak pandemik bermula.
Lebih separuh daripada 347 kes yang dilaporkannya adalah kes import, dengan kawalan sempadan diperketat dan penguatkuasaan kuarantin dibuat bagi mengelak penularan virus.
Lima daripada kes pertama jangkitan tempatan di negara kaya minyak sejak Mei tahun lepas itu dikaitkan dengan pusat pemantauan virus diuruskan kerajaan.
“Kluster ini dipercayai berkaitan dengan salah satu kes import di Brunei,” kata kenyataan.
Sumber jangkitan dua kes lagi tidak dapat dikenalpasti, tambah kementerian.
Satu kes import diumumkan pada Sabtu melibatkan seorang lelaki yang tiba dari Timur Tengah melalui Malaysia pada 30 Julai sebelum bergejala pada Selasa.
Brunei antara negara yang “terlepas” daripada ledakan wabak yang kini mula meruntuhkan sistem kesihatan awam di banyak negara Asia Tenggara.
Ia hanya berkongsi sempadan darat dengan Malaysia yang setakat ini merekodkan hampir 1.25 juta kes dengan lebih 10,000 kematian.
Brunei sedang merancakkan proses vaksinasi penduduknya, dengan hampir 32% daripada 450,000 penduduknya sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – AFP,8 Ogos, 2021.
Komen