SEBANYAK 425,698 dos vaksin Covid-19 disuntik semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berkata 186,035 menerima dos pertama mereka semalam, sementara 239,663 pula menerima dos kedua.
Berdasarkan data terbaru itu, 8.2 juta atau 25.3% populasi negara ini sudah lengkap divaksin dua dos, dengan 15.3 juta atau 47% menerima dos pertama vaksin mereka.
Sementara itu, 65.6% penduduk dewasa sudah menerima dos pertama mereka dan 35.3% lagi sudah lengkap dua dos.
Putrajaya menyasarkan untuk vaksinasi keseluruhan populasi dewasa negara ini menjelang Oktober.
Di Lembah Klang yang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur, 72.9% atau 6.1 juta penduduknya sudah menerima dos pertama dan 34.9% atau 2.9 juta lagi sudah lengkap dua dos.
Semalam, Malaysia melaporkan 19,257 kes baharu Covid-19.
Lebih separuh daripada kes ini dikesan di Selangor (7,804) dan Kuala Lumpur (2,450).
Program vaksinasi terus masuk juga sudah bermula di Lembah Klang untuk penduduknya yang masih tidak mendapat temujanji dan dijadualkan berlangsung sehingga 22 Ogos. – 8 Ogos, 2021.
Komen