Vaksinasi bukan tangkal azimat atasi pandemik, kata Kit Siang


Pengalaman negara lain menunjukkan vaksinasi bukan jalan tunggal keluar dari pandemik, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2021.

PUTRAJAYA sedang membuat kesilapan dengan semata-mata bergantung kepada vaksinasi sebagai jalan keluar dari pandemik Covid-19, kata Lim Kit Siang hari ini.

Tambahnya, pengalaman negara lain menunjukkan vaksinasi populasi penduduk sahaja tidak akan membantu mengatasi sepenuhnya Covid-19.

Amaran itu dikeluarkannya ketika kerajaan sedang memperhebat program vaksinasi, menyasarkan suntikan 500,000 dos sehari bagi mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober ini.

Semalam, kerajaan berkata 35% penduduk negara ini sudah menerima dua dos vaksin.

“Kita nampaknya sangat bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi kebangsaan dalam perang melawan pandemik Covid-19. Vaksin akan membantu tetapi ia bukan tangkal azimat pandemik Covid-19.

“Negara lain seperti Israel, United Kingdom dan Amerika Syarikat menunjukkan yang vaksin semata-mata tidak akan menyelesaikan semua perkara,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dengan kadar vaksinasi setengah juta penduduk setiap hari, hampir 47% penduduk Malaysia menerima satu dos dan 25% lagi sudah lengkap vaksinasi dua dos, “tetapi kita masih belum nampak kesannya ke atas jumlah kes dan kematian.”

“Adakah kita perlu tunggu hingga 90% rakyat Malaysia lengkap divaksinasi?”

Veteran DAP itu berkata yang “mengejutkan dan menjelikkan” apabila mereka yang berkuasa lebih memberi perhatian kepada permainan dan konspirasi politik apabila tumpuan penuh sepatutnya dihalakan kepada usaha menyelamatkan Malaysia dengan mengurangkan jumlah harian kes jangkitan dan kematian disebabkan Covid-19.

Tambahnya, selama 26 hari berturut-turut, kes harian Covid-19 mencecah puluhan ribu dengan dua kali melepasi takat 20,000 kes harian.

Dan untuk 27 hari berturut-turut sejak 12 Julai, kecuali 25 Julai, kes kematian disebabkan Covid-19 adalah ratusan kes.

Malah sejak 1 Ogos lalu, kes kematian harian adalah sekitar 160 hingga 257 kes, tambahnya.

“Kerajaan Muhyiddin masih melakukan perkara sama dan mengharapkan hasil berbeza.

“Bukankah sepatutnya pembuat dasar memikirkan semula dengan serius bagi menurunkan jumlah kes dan kematian?” – 8 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen