Polis ganggu keluarga penunjuk perasaan, kata SSR


Alfian Z.M. Tahir

Polis memulakan siasatan terhadap penunjuk perasaan #Lawan dengan memanggil 29 individu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2021.

POLIS yang menyiasat peserta tunjuk perasaan #Lawan di Dataran Merdeka minggu lalu tidak patut mengganggu ahli keluarga mereka, kata ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) Mohammad Abdullah Alshatri.

Beliau berkata, beberapa keluarga peserta tunjuk perasaan itu “didatangi” polis dalam tempoh seminggu lalu dan menganggap ia sebagai melanggar privasi.

“Selain pergi ke alamat individu yang menyertai tunjuk perasaan itu, polis juga ‘melawat’ rumah ibu bapa mereka.

“Polis mendakwa mereka hanya memeriksa alamat untuk memastikan penunjuk perasaan itu memberitahu perkara yang sahih.

“Ini satu tindakan mengugut dan polis mesti menghentikannya serta-merta,” kata Mohammad kepada media pada satu sidang akhbar maya hari ini.

Sejak awal minggu ini, polis memulakan siasatan terhadap penunjuk perasaan #Lawan dengan memanggil 29 individu.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini menyatakan 20 laporan polis menentang tunjuk perasaan itu dilaporkan di seluruh negara.

Acryl Sani berkata, di samping 29 individu yang termasuk penganjur, polis turut mengenal pasti peserta lain menerusi foto dan video insiden tunjuk perasaan itu.

Beliau berkata, siasatan itu dijalankan di bawah beberapa akta termasuk Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) kerana tunjuk perasaan itu berlaku ketika perintah kawalan pergerakan bagi menangani penularan Covid-19.

Mohammad menyelar polis kerana mengedarkan gambar penunjuk perasaan kepada media, menyatakan polis seharusnya menghubungi mereka secara langsung.

“Mereka mengedarkan 40 keping imej tapi kenapa mereka tidak terus berhubung dengan penunjuk perasaan. Tidak perlulah polis mengedarkan imej itu kepada khalayak,” katanya. – 7 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen