JKNS ambil tindakan jika sebar cerita palsu


Dr Rose Nani menasihatkan orang ramai yang mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak cemas dan bimbang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2021.

JABATAN Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit menyebar maklumat palsu mengenai pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan PPV lain di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rose Nani Mudin, berkata penularan maklumat palsu di media sosial, kononnya meminta orang ramai yang berada di PPV SICC pada 31 Julai lalu supaya segera menjalani saringan Covid-19, adalah serius.

Beliau berkata, perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai untuk datang mendapatkan suntikan vaksinasi di PPV SICC, sekali gus mengganggu usaha vaksinasi di PPV itu.

“JKNS tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang supaya perkara ini tidak berulang lagi… dakwaan itu tidak benar kerana jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan kawasan Kota Kinabalu tidak pernah mengeluarkan arahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani menasihatkan orang ramai yang mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak cemas dan bimbang kerana semua PPV selamat dan Kementerian Kesihatan amat menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard bagi mengekang Covid-19.

“Semua petugas dan sukarelawan perlu memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dijaga, kerap basuh tangan atau guna pensanitasi tangan adalah amalan petugas di SICC… individu yang datang mendapatkan vaksin mesti memakai pelitup muka, suhu badan dipantau dan mengunakan pencuci tangan,” katanya. – Bernama, 7 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen