Kumpulan belia desak Muhyiddin letak jawatan


Alfian Z.M. Tahir

Jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar berkata mereka akan mengadakan tunjuk perasaan sekali lagi jika PM enggan letak jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2021.

SELEPAS berjaya mengerahkan ratusan orang menyertai tunjuk perasaan aman Julai lalu, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) akan sekali lagi turun padang untuk menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Jurucakap SSR, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar mendesak ahli Parlimen Pagoh itu supaya mengosongkan jawatannya serta-merta selepas kerajaan pimpinannya gagal menangani penularan wabak Covid-19 selain ekonomi negara yang semakin merudum.

Asraf memberitahu sidang akhbar secara maya hari ini jika Muhyiddin enggan meletakkan jawatan, SSR akan kembali ke jalanan pada 21 Ogos ini dengan penyertaan lebih ramai.

“Kami menggesa Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan serta-merta kerana gagal memimpin negara dan menstabilkan senario politik negara ini. Kita masih merangkak untuk keluar daripada pandemik ini dan akhirnya, kita lihat puluhan ribu kes setiap hari.

“Kerajaan ini ternyata gagal dan mereka yang mempunyai kuasa mesti menyedari bila untuk melepaskan jawatan dan membolehkan mereka yang lebih berkelayakan untuk memimpin. SSR sedia untuk turun ke jalanan sekali lagi pada 21 Ogos ini jika Muhyiddin enggan melepaskan jawatannya.

“Kami akan menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-besaran kali ini. Turun ke jalanan bukan satu pilihan jika kami mempunyai seorang pemimpin yang berwibawa. Jawapan sebenar buat seorang pemimpin yang mementingkan diri sendiri adalah tunjuk perasaan di jalanan,” kata Asraf.

Sabtu lalu, gerakan pemuda SSR berkumpul di luar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, selepas mereka dihalang oleh polis daripada memasuki Dataran Merdeka yang mana mereka bercadang untuk membuat tunjuk perasaan.

Mereka yang terdiri daripada anak muda berkumpul di Jalan Tun Perak sebelum berarak pada jam 11.30 pagi menuju Dataran Merdeka, yang mana mereka mahu mendesak Muhyiddin supaya meneruskan sidang Parlimen selain moratorium pembiayaan pinjaman kepada semua.

Acara itu diadakan ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan di Kuala Lumpur untuk menangani epidemik Covid-19.

Penunjuk perasaan membawa bersama kain rentang dan plakat. Patung jenazah yang dibungkus dalam kain putih turut diusung untuk memberi simbolik kepada kematian susulan Covid-19.

Di plakat, kerajaan Perikatan Nasional dipanggil “kerajaan pembunuh”, merujuk kepada cara mereka menangani krisis Covid-19.

Sejak itu, polis memanggil lebih daripada 10 peserta tunjuk perasaan termasuk penganjur.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata sekalipun tunjuk perasaan itu secara aman, ia menyalahi Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Nasional) 2021.

Bercakap mengenai pematuhan prosedur operasi standard, Zainal berkata peserta tunjuk perasaan memakai topeng muka namun penjarakan sosial tidak dilaksanakan. – 7 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen