Vaksinasi 'walk-in' golongan khas diperluas


Perincian pelaksanaan vaksinasi secara 'walk-in' akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama jabatan kesihatan negeri masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2021.

INISIATIF vaksinasi jumpa terus atau ‘walk-in’ yang dilaksanakan di Lembah Klang akan diperluaskan ke pusat pemberian vaksin (PPV) awam di seluruh negara bagi golongan khas dalam masa terdekat, menurut Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

CITF memaklumkan vaksinasi jumpa terus tanpa janji temu itu dikhususkan untuk kumpulan tertentu iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurutnya, individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh pergi ke mana-mana PPV yang berhampiran dengan kediaman mereka dan sekiranya PPV itu tidak menawarkan vaksin jenis sama dengan dos pertama, mereka akan dirujuk ke PPV lain.

“Perincian pelaksanaan vaksinasi secara ‘walk-in’ akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama jabatan kesihatan negeri masing-masing. Ini termasuk penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV bagi setiap negeri,” menurutnya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

CITF memberitahu jumlah ‘walk-in’ harian bergantung kepada kapasiti bekalan vaksin di PPV dan bagi individu yang tidak berpeluang mendapat vaksinasi pada hari itu kerana kehabisan bekalan vaksin di PPV, nama mereka akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokan harinya.

Jelasnya, inisiatif ‘walk-in’ kepada warga emas dimulakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak termasuk Kelantan yang membuka secara pratempahan.

Bagi penduduk Lembah Klang yang tidak tergolong dalam mana-mana kategori di atas tetapi ingin datang terus untuk dos pertama kerana tiada janji temu, mereka perlu pergi ke PPV yang disenaraikan sebelum ini. 

Menurut CITF, ‘walk-in’ ke PPV yang disenaraikan sebelum ini juga dibenarkan mengikut waktu operasi PPV masing-masing dan tidak lagi bermula hanya pada jam 2 petang.

Bagi wanita hamil, CITF menyatakan golongan ini tidak digalakkan untuk jumpa terus, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui aplikasi MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin ke PPV bersesuaian.

CITF juga menyeru orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas di PPV ketika hadir untuk mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dan memastikan kelancaran proses vaksinasi dan keselamatan di PPV. – Bernama, 7 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen