KEGAGALAN Kementerian Kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19 yang mencukupi menyebabkan peningkatan jangkitan wabak itu di negara ini, kata Tony Pua.
Ahli Parlimen Damansara itu berkata, data dari Kementerian Kesihatan menunjukkan ini adalah alasan yang paling jelas kenapa jumlah kes positif meningkat secara berterusan.
“Semalam, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Keong menyenaraikan tiga faktor menyebabkan krisis semakin memburuk.
“Yang pertama adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ‘lebih longgar’ selepas PKP ditarik semula pada 17 Julai selain sekatan untuk sektor ekonomi terhad dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alasan lain yang turut disebutkan adalah kesan selepas perayaan Aidiladha pada 20 Julai lepas dan kes varian Delta yang lebih dominan serta berjangkit.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan dan Dr Chong tidak memberikan statistik untuk menyokong kenyataan berkenaan.
“Apa yang gagal disebutkan oleh Dr Chong adalah kenyataan bahawa Lembah Klang berada di bawah PKP sejak 24 Mei sehingga kini (hampir 11 minggu) dengan sekatan yang berbeza-beza. Sebilangan besar aktiviti ekonomi dan sosial ditutup sepenuhnya, tambahnya.
Bagaimanapun kes Covid-19 terus meningkat dan kebanyakannya diklasifikasikan sebagai kes komuniti “sporadik”.
Pua berkata, kadar positiviti berada jauh di atas 6.5% untuk beberapa minggu pertama PKP, tetapi penurunan ujian yang drastic menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.
Purata sampel ujian harian yang diambil menurun sebanyak 34% - daripada 109,601 kes pada minggu pertama PKP kepada hanya 72,308 kes pada minggu kelima.
Setiausaha Publisiti DAP itu menambah bahawa kekurangan ujian menyebabkan peningkatan jumlah kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti dan juga kontak rapat tidak dapat dikesan serta diasingkan.
Beliau berkata, ketiadaan langkah-langkah seperti ini menyebabkan peningkatan drastik kes positif dalam beberapa minggu terakhir.
“Memang benar Kementerian Kesihatan sejak itu sudah meningkatkan jumlah sampel ujian kepada lebih 140,000 sampel sehari dalam dua minggu terakhir. Bagaimanapun kadar positivity meningkat lebih cepat kepada lebih 13% minggu ini. Ini melebihi dua kali ganda ambang yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 5%.
“Jika kadar positiviti 6.5%, jumlah sampel ujian yang diambil tidak mencukupi, maka jelas bahawa pada kadar dua kali ganda, 13% hari ini, jumlah ujian yang dilakukan bahkan lebih tidak mencukupi,” katanya.
Pua meminta KKM meningkatkan ujian bersasar secara drastic dan membuat rancangan ujian kebangsaan sebagai sebahagian dari pendekatan kerajaan serta seluruh negara bagi memerangi situsi pandemik yang semakin buruk di negara ini.
“Kita mesti membina kapasiti nasional untuk menguji sekurang-kurangnya 1% iaitu sekitar 300,000 ujian sehari – sebagai persediaan menangani wabak di masa depan,” katanya.
Kementerian juga perlu menerapkan kaedah Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS) seperti yang dicadangkan dalam Pelan Pemulihan Negara dalam skala besar bagi menyekat penyebaran virus.
Beliau berkata tanpa kaedah ini, jangkitan akan terus meningkat dalam beberapa minggu akan datang sehingga masyarakat mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi atau jangkita.
Peningkatan kes jangkitan akan menyebabkan sistem penjagaan kesihatan menjadi lumpuh.
Pua bagaimanapun berkata, ini bukan rancangan yang perlu dilakukan oleh KKM sendiri.
Meningkatkan ujian memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk hospital swasta, klinik swasta, kilang dan tempat kerja serta bahkan individu melalui alat ujian kendiri yang kini sudah tersedia dijual. – 7 Ogos, 2021.
Komen