Pertumbuhan gaji 2017 beri kelebihan kepada pekerja atas 35 tahun, kata KWSP


Sheridan Mahavera

Ketua Jabatan (Jabatan Ekonomi & Pasaran Modal) Nurhisham Hussien berkata KWSP masih mengkaji punca trend itu berlaku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2018.

GAJI pekerja berusia atas 35 tahun meningkat empat peratus tahun lepas, kata seorang pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Pekerja (KWSP) ketika banyak pihak merungut tentang gaji yang tidak banyak berganjak pada 2017.

Bagaimanapun trend itu tidak berlaku dalam kalangan pekerja berusia kurang 35 tahun, kata Ketua Jabatan (Jabatan Ekonomi & Pasaran Modal) Nurhisham Hussien.

“Kami masih berusaha mengenal pasti punca perkara ini berlaku kerana data ini masih baru,: kata Nurhisham kepada hadirin yang menghadiri forum “Malaysian Income Distribution in a Global Context” hari ini.

“Apa yang kita nampak adalah gaji sedang meningkat tetapi tidak menyeluruh,” katanya pada majlis anjuran Khazanah Research Institute itu.

KWSP yang menerima caruman pekerja sektor swasta menyaksikan peningkatan gaji untuk kumpulan B40 dan T20 di negara ini.

“Tetapi pertumbuhan gaji agak kurang dalam kalangan M40, bergantung kepada umur mereka,” kata Nurhisham.

Peningkatan gaji perlahan dibandingkan dengan kadar inflasi yang secara puratanya sekitar 4% pada 2017 adalah rugutan yang biasa dilontarkan rakyat Malaysia.

Perunding perniagaan Korn Ferry dari  Kerry Hay Group menganggarkan pada 2017, purata peningkatan gaji hanyalah 1.3%.

Seorang lagi ahli ekonomi, Azrul Azwar Tajudin menjangkakan trend pertumbuhan gaji yang tidak selaras dengan peningkatan harga barangan akan berterusan pada 2018.

Peningkatan gaji dalam kalangan pekerja pelbagai bidang tidak diterjemahkan secara terus ke dalam mobiliti sosial, kata Nurhisham lagi.

Walaupun rakyat Malaysia kini masih berpeluang menikmati kehidupan lebih baik berbanding generasi terdahulu, kemungkinan tinggi mereka masih kekal berada dalam kelas sosial ekonomi yang sama sepanjang hidup mereka, katanya lagi.

Ketua Penyelidikan KRI, Dr Allen Ng mengatakan kesenjangan pendapatan antara isi rumah semakin mengecil pada 2016 berbanding 1970-an. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Januari, 2018.

“Mobiliti dalam generasi sangat lemah. Misalnya, jika anda pekerja B40, ada 50% peluang yang anda akan terus berada dalam kumpulan itu.

“Jika anda T20 pula, ada peluang 60% yang anda akan terus kekal dalam kumpulan pendapatan itu. Jadi asal anda bermula sebenarnya penting.

Pertumbuhan gaji adalah perkara yang sering dibangkitkan dalam forum hari ini yang mahu menganalisis usaha Malaysia mengurangkan kesenjangan pendapatan, salah satu fokus utama dasar kerajaan.

Kajian KRI menunjukkan kesenjangan yang diukur menggunakan Pekali Koefisien Gini menurun pada 2016 berbanding 1970-an.

Pada skala 1 (lebih setara) kepada 0 (kurang setara), pekali itu berkurangan daripada 0.5 pada 1970 kepada 0.399 pada 2016, kata Ketua Penyelidikan KRI Dr Allen Ng.

Pada 1970, isi rumah T20 meraih pendapatan 9 kali ganda lebih banyak berbanding isi rumah B40. Pada 2016, nisbah ini berkurangan kepada 5.6 kali ganda, kata Ng.

Salah satu puncanya adalah pengurangan kesenjangan ini adalah peningkatan pendapatan yang stabil untuk kumpulan B40 dan M40, kata Ng. – 18 Januari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen