TERPERANGKAP dengan tuduhan skim wang, keadaan pengasas entiti perdagangan forex JJ Poor to Rich (JJPTR) Johnson Lee kini makin meruncing dan hampir temui jalan buntu.
Pengguna media sosial sudah mula mencercanya sebagai penipu. Tetapi mungkin kebanyakan mereka yang mengutuknya itu tidak pernah bertemu dengannya.
Bagi mereka yang kenal Lee, mereka kata dia “lelaki yang baik”, pemurah dan pandai dengan angka.
Bekas pengetua sekolah menengahnya Goh Boon Poh mengingati Lee sebagai seorang remaja tampan yang pendiam, dan selalu tersenyum.
“Dia pelajar yang sangat sopan, selalu menghormati guru. Sebab itu dia sumbangkan wang kepada sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tahun lalu, Lee menyumbangkan RM1 juta kepada sekolah lamanya Sekolah Menengah Heng Ee bagi pembinaan bangunan sekolah itu di Bayan Baru.
Goh yang menjadi pengetua dari 2004 hingga bersara pada 2014 berkata sekolah itu tidak pernah menerima sejumlah besar wang sumbangan bekas pelajar sebelum ini.
“Biasa kita terima bekas pelajar bagi sumbangan, tetapi jarang menerima jumlah sebesar itu.
“Saya tanya apa kerjanya. Dia buat pelaburan dan hartanah. Pada masa itu, saya tidak tahu dia terlibat dalam perniagaan permainan wang seperti ini,” katanya.
Goh, yang juga ahli lembaga pengarah sekolah berkata Lee agak menonjol dalam populasi 3,000 pelajar di sekolah itu.
“Dia sangat bagus dalam Matematik dan Matematik Tambahan. Markahnya sangat tinggi, selalu hampir 100.
“Keseluruhannya, keputusan peperiksaannya baik. Tetapi dia sangat bagus dengan angka. Itu cara dia menonjol,” katanya.
Seorang pemilik agensi pengiklanan yang enggan nama disiarkan turut memberi kesimpulan sama mengenai Lee – seorang yang baik dan pintar Matematik.
“Saya pernah lihat dia buat pengiraan. Dia memang sangat senang dengan angka,” katanya, berkata dia berkenalan dengan Lee dua tahun lalu ketika bekerja membuat program pengiklanan untuk syarikatnya.
“Dia seorang yang merendah diri. Tidak pernah berlagak. Bila bercakap dengan orang muda atau tua, dia sopan dan ikhlas.
“Dia juga sangat rajin, dan buat kerja sendiri. Dia berurusan dengan orang secara bersemuka,” katanya, menambah mereka berbual seperti rakan walaupun hanya kenalan perniagaan.
Katanya, dia kesal apa yang berlaku kepada Lee sekarang dengan masalah perniagaannya kerana dia fikir Lee dan ahli JJPTR melakukan perkara salah.
“Bagi sesetengah pelabur, JJPTR ialah satu perkara yang baik. Seperti bagi pesara, skim itu beri mereka lebihan beberapa ratus ringgit untuk membantu perbelanjaan isi rumah. Ia bukan skim besar untuk orang jadi kaya,” katanya.
Katanya, Lee dan beberapa ahli JJPTR juga banyak terbabit dalam kerja amal.
“Mereka beri wang kepada pelbagai badan amal, adakan kempen derma darah. Mereka rasa patut menolong orang yang memerlukan kerana mereka dapat untung,” katanya.
Lee dan dua pembantunya ditahan polis di Klang pada awal pagi Selasa. Mereka ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Reman berakhir hari ini.
JJPTR yang memulakan perniagaan pada Mei 2015 menawarkan pelabur jaminan pulangan bulanan 20% untuk pelaburan serendah AS$25 hingga maksimum AS$1,000.
Semuanya berjalan lancar untuk syarikat dan 400,000 pelaburnya di Malaysia dan luar negara hingga penghujung bulan lalu apabila Lee mendakwa akaun perdagangan JJPTR digodam, menyebabkan kerugian lebih SS$400 juta (RM1.7 bilion).
Dakwaan godam itu membimbangkan pelabur dan sesetengahnya membuat laporan polis, yang menyebabkan polis mula menyiasat JJPTR kerana didakwa menpu.
Sejak hujung bulan lalu, pejabat JJPTR mengumpul maklumat ahli untuk mempercepatkan urusan pemulangan wang.
Lee sendiri memuat naik beberapa video di Facebook JJPTR sejak beberapa minggu lalu untuk memberi keyakinan kepada pelabur yang dia tidak melarikan diri dengan wang mereka dan sedang cuba membayar semula wang berkenaan.
Minggu lalu Lee muncul pada satu majlis anjuran Gerakan di Kuala Lumpur untuk mengembalikan wang kepada 100 pelabur yang kurang upaya.
Tetapi Jumaat lalu, termasuk polis dan Bank Negara Malaysia menyerbu lapan premis JJPTR di Pulau Pinang dan merampas dokumen, komputer dan barangan lain.
Polis juga mengambil keterangan 1 kakitangan JJPTR dan empat pelabur untuk membantu siasatan. Sejak serbuan itu, pejabat JJPTR ditutup. – 18 Mei, 2017.
Komen