TINDAKAN 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilakukan sebagai sokongan individu dan bukan tidak akur arahan parti, kata Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Isunya bukan tidak akur arahan parti, isunya sekarang adalah pendirian kita sebagai ahli Parlimen,” kata naib presiden Umno pada sidang media di Kuala Lumpur.
“Kami berpegang pada pendirian ini dan menunggu sehingga September,” katanya merujuk kepada undi percaya Muhyiddin yang akan diadakan dalam persidangan Parlimen bulan depan.
Ismail sebelum ini mengumumkan nama 31 ahli Parlimen BN yang menolak arahan Umno untuk segera menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis mengumumkan beberapa ahli Parlimen parti itu menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan berapa ramai yang menarik sokongan berkenaan.
Ismail, yang dilantik oleh Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri bulan lalu berkata kepimpinan Umno sepatutnya terlebih dahulu membawa perkara itu ke majlis tertinggi BN untuk dibincangkan.
“Ini kerana di Parlimen, kita berada di bawah BN, kita adalah ahli Parlimen BN,” katanya mengenai gabungan yang merangkumi Umno, MIC, MCA dan PBRS.
Bersamanya hari ini adalah Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC M. Saravanan yang kedua-duanya turut berjanji menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN.
Timbalan Presiden PBRS dan ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup antara nama yang dibacakan oleh Ismail Sabri sebelum ini. – 6 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen