Najib selar Muhyiddin, Wan Saiful atas dakwaan campur tangan mahkamah


Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional sehingga sekarang, beliau hanya berjumpa dengan Muhyiddin sekali sahaja pada Disember 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

NAJIB Razak menyelar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan kerana mendakwanya meminta hakim dalam perbicaraannya ditukar.

Bekas perdana menteri itu berkata, ada dakwaan mengatakan beliau mahu Muhyiddin campur tangan dalam perbicaraannya dan mahu hakim ditukar dalam kes rayuan SRCnya.

Beliau berkata sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional sehingga sekarang, beliau hanya berjumpa dengan Muhyiddin sekali sahaja pada Disember 2020.

“Sebelum itu tak pernah, selepas itu pun tak pernah.

“Lagipun, ia juga mustahil untuk saya minta hakim mahkamah rayuan ditukar sebab tiga hakim bagi mahkamah rayuan hanya dipilih pada bulan April 2021 sedangkan saya hanya jumpa Muhyiddin pada bulan Disember 2020.

“Tambahan pula, perhimpunan Agung Umno sudahpun berlangsung pada bulan Mac 2021 dengan keputusan tarik diri dari kerajaan PN - iaitu juga sebelum pemilihan hakim mahkamah rayuan.

“Jadi, macam mana pulak saya minta tukar hakim sedangkan hakim belum dilantik dan Umno sudah putuskan untuk tarik diri dari Bersatu?

“Penipu besar yang sebetulnya Muhyiddin dengan Wan Saiful Wan Jan ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Najib mengulas mengenai pendedahan Muhyiddin bahawa ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya untuk tidak melayan beberapa tuntutan termasuk desakan supaya mencampuri urusan mahkamah bagi membebaskan beberapa individu yang didakwa atas kesalahan jenayah.

Muhyiddin dipercayai membuat kenyataan itu merujuk kepada Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naji yang berdepan tuduhan berkaitan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Awal hari ini, Wan Saiful berkata selepas pengumuman Muhyiddin bahawa terdapat tuduhan antara kes yang dimaksudkan adalah melibatkan Zahid dan Najib.

“Ada yang mengatakan Zahid Hamidi pernah meminta Muhyiddin menggugurkan kes-kes beliau manakala Najib Razak pula pernah meminta Muhyiddin menukar hakim dalam proses rayuan. Ini dakwaan yang berat.

“Saya tidak terkejut jika Muhyiddin menolak mentah-mentah kedua-dua desakan ini sehingga menyebabkan Najib dan Zahid amat marah dan terdesak.

“Muhyiddin memang tegas dalam hal integriti dan melawan salah laku,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau menambah bahawa Zahid dan Najib perlu menjawab dengan segera dan menafikan dakwaan jika ia tidak benar.

“Betulkah Najib dan Zahid begitu terdesak hingga sanggup memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini dengan cara mengarahkan penarikan sokongan sebab mereka takut ke penjara?

“Jika khabar angin ini betul, jelaslah Zahid dan Najib langsung tak fikir mengenai kesatuan politik dan kebajikan rakyat. Kluster mahkamah ini berusaha gulingkan kerajaan walaupun semasa pandemik hanya untuk diri sendiri, bukan untuk rakyat. Masih perangai macam dulu,” katanya.

Pada Selasa, Zahid berkata Umno sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimennya kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin dengan itu sudah hilang majoriti untuk terus kekal menerajui kerajaan, katanya.

“Surat akuan ahli Parlimen Umno yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan dengan ini terbatal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno. – 3 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen