POLIS menasihati aktivis Nathaniel Tan, yang sedang melancarkan mogok lapar bagi menuntut perubahan untuk kebajikan rakyat, supaya mematuhi peraturan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight polis bertanya tentang mogok laparnya itu tetapi tidak mengarahkan beliau meninggalkan lokasi mogok.
Tan yang memulakan mogok lapar semalam dan hanya mengambil minuman, memasang khemah di kaki lima di bangunan kedai di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Beliau berkata anggota polis datang menyoal siasatnya awal hari ini.
“Mereka juga mahu tahu tujuan mogok lapar saya,” katanya, menambah kira-kira 10 anggota polis datang berjumpanya.
“Mereka kata akan perhatikan saya, dan saya boleh terus berada di sini.
“Mereka juga beritahu saya supaya patuh SOP,” katanya, yang turut memakai pelitup muka.
Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan Tan, 40, berkata beliau bosan dengan keadaan politik yang huru-hara di negara ini, dan menetapkan lima tuntutan sebelum menamatkan mogok lapar.
Tuntutannya ialah:
1. Membenarkan pakar dasar awam menasihati kerajaan cara pengendalian Covid-19.
2. Kerajaan memperuntukkan RM500 juta kepada hospital untuk mengendalikan pandemik.
3. Benarkan petugas barisan hadapan bercakap mengenai situasi sebenar.
4. Membenarkan pekerja yang bekerja dari rumah tidak perlu ke pejabat.
5. Bekalan pelitup muka N95 dan cecair pembasmi kuman secara perumah di hospital dan balai polis. – 5 Ogos, 2021.
Komen