AHLI-ahli Parlimen DAP akan bermesyuarat esok bagi membincangkan situasi politik ketika ini, susulan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam berjanji usul undi percaya terhadapnya akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.
Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight, mesyuarat bulanan itu akan menumpu kepada sama ada untuk menyokong Muhyiddin dan apakah langkah yang perlu diambil sekiranya beliau meletak jawatan.
“Penarikan sokongan 12 ahli Parlimen Umno dan usul undi percaya telah mencetus banyak isu.
“Persoalan pertama ialah adakah parti perlu undi menentang Muhyiddin dan kedua, apa yang akan berlaku jika beliau letak jawatan,” kata sumber.
Sumber juga berkata kesemua 42 ahli Parlimen DAP kini berbelah bagi kerana ada yang antara mereka yang percaya menggulingkan Muhyiddin hanya akan memberi semula kuasa kepada pemimpin-pemimpin kleptokrat dalam Umno.
Segelintir ahli Parlimen dalma parti juga percaya kerajaan Perikatan Nasional sekarang ibarat “bom jangka” yang patut dibiarkan meletup sendiri, katanya.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua semalam berkata meski pergolakan dalam Perikatan Nasional ketika ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi pembangkang untuk menggulingkan Muhyiddin, namun ia juga berkemungkinan besar akan membuka jalan kepada Umno untuk berkuasa semula.
“Dan sekiranya mana-mana pemimpin Umno menjadi perdana menteri, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin juga memperoleh kembali kuasa)?” katanya melalui perkongsian di Facebook.
Pua dipercayai merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Zahid dan Najib kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah melibatkan ratusan juta ringgit.
Beberapa lagi ahli Parlimen DAP pula percaya ini adalah peluang untuk menumbangkan kerajaan PN kerana gagal menangani pandamik Covid-19. – 5 Ogos, 2021.
Komen