Ahmad Faizal layak jadi penasihat khas PM, kata orang Bersatu


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dilihat turut hadir di kediaman perdana menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada malam kelmarin susulan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021.

TIMBALAN Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sememangnya layak dilantik menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertaraf menteri, kata pemimpin parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’amman memberitahu The Malaysian Insight, tiada isu timbul berkaitan pelantikan itu kerana dibuat dengan kuasa perdana menteri.

Pelantikan itu dibuat ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin diasak kerana masih belum berjaya membuktikan sokongan majoriti yang diperolehinya.

Faiz berkata pelantikan Ahmad Faizal akan membentuk memperkuat kerajaan.

“Pendapat kami beliau sebagai timbalan presiden ada peranan dalam kerajaan untuk bantu perkuatkan lagi kerajaan,” katanya.

Beliau juga menafikan pelantikan itu diputuskan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi dan mendakwa pelantikan itu sudah lama diputuskan.

“Kami memang tahu beliau dilantik lama dah sebelum mesyuarat malam tadi. Tak silap saya dalam tiga hari yang lepas.

“Jadi mesyuarat malam semalam itu tak ada perbincangan tapi kami tetap ucapkan tahniah kepada beliau semalam.

“Benda ini tak perlu dibawa ke mesyuarat sebab atas budi bicara perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, beliau juga yakin Ahmad Faisal layak memegang jawatan itu bagi membantu memperkasakan lagi hubungan kerajaan dengan rakyat terutama yang di luar bandar.

Kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini juga mengesahkan pelantikan bekas menteri besar Perak itu ke jawatan tersebut.

“Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai penasihat khas kepada perdana menteri bertaraf menteri.

“Beliau akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi.

“Pejabat ini mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizal atas pelantikan ini,” kenyataan itu dipetik.

Pelantikan tersebut menjadi buah mulut hari ini apabila satu poster ucapan tahniah atas pelantikan Ahmad Faizal dikeluarkan Bersatu bahagian Kota Bharu. – 5 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen