MALAYSIA mencatatkan 20,596 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu, jumlah jangkitan harian tertinggi sejak bermulanya wabak itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Nooor Hisham Abdullah.
Selangor dan Kuala Lumpur menyumbang lebih separuh kes dengan masing-masing berjumlah 8,549 dan 2,163.
Ini adalah kali pertama jumlah jangkitan harian melebihi 20,000.
Sebilangan besar kes baharu juga dilaporkan di Kedah (1,446), Johor (1,300), Sabah (1,062) dan Pulau Pinang (1,022).
Noor Hisham berkata dengan jumlah jangkitan baharu ini, jumlah kes terkumpul kini berjumlah 1,203,706.
Jumlah tertinggi sebelum ini dilaporkan semalam dengan 19,819 kes.
Ini adalah hari ke-24 Malaysia terus mencatat kes sebanyak lima digit.
Sementara itu, Sarawak melaporkan 759 kes, Negeri Sembilan (989), Kelantan (772), Perak (916), Melaka (622), Pahang (426) dan Terengganu (511).
Putrajaya dan Labuan melaporkan kes dua digit, masing-masing dengan 50 dan 15 kes manakala hanya empat kes dikesan di Perlis.
Jumlah vaksin Covid-19 yang diberikan semalam menurun di bawah sasaran 500,000, dengan hanya 494,214 suntikan diberi.
Daripada jumlah semalam, 230,053 adalah dos pertama, sementara 264,161 menerima dos kedua.
Ia menjadikan jumlah mereka yang mendapat vaksin sebanyak 22.64 juta dengan 14.9 juta atau 45.8% penduduk menerima satu dos, dan 7.7 juta atau 23.6% menerima dos kedua. – 5 Ogos, 2021.


Komen