SEORANG ahli Parlimen Umno Idris Jusoh tampil mempersoalkan hala tuju parti itu dan mengikrar sokongan untuk Muhyiddin Yassin kekal sebagai perdana menteri.
Ahli Parlimen Besut itu menyatakan demikian selepas Umno negeri mendakwa tiga lagi ahli Parlimen akan menarik sokongan ke atas Muhyiddin hari ini.
Idris yang juga bekas menteri besar Terengganu berkata beliau tidak nampak hala tuju yang hendak dibawa presiden parti Ahmad Zahid Hamidi selepas Umno menolak kepemimpinan Muhyiddin.
Bekas menteri persekutuan itu juga mempersoalkan sekiranya Zahid akan membawa Umno untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri baharu.
“Kita diarah menolak kerajaan sedia ada dan menolak kepemimpinan Muhyiddin. Selepas itu ke mana kita?
“Adakah kita hendak kembali menjadi pembangkang? Membiarkan pemimpin bukan Melayu mentadbir agama Islam?
“Atau adakah kita hendak menyokong Anwar sebagaimana kita maklum akan hubungan akrab kedua-duanya (dengan Zahid)?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Besut satu-satunya kerusi BN melalui Umno di Terengganu pada waktu ini.
Satu lagi kerusi yang dimenangi Umno dalam PRU14 kini dipegang oleh Bersatu selepas ahli Parlimennya Rasol Wahid keluar Umno pada Disember 2019.
Terdahulu Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said berkata terpulang kepada Idris untuk akur dengan keputusan parti menarik balik sokongan ke atas perdana menteri.
“Terpulang kepada Idris kita keluar arahan sebab arahan dah diluarkan keluar pejabat (Umno pusat) supaya tarik diri,” katanya.
Umno Terengganu juga tidak memberi arahan kepada Idirs untuk untuk meletaj jawatan sebagai pengerusi Felda, katanya dalam satu sidang media pagi ini.
Beliau juga mendakwa tiga lagi ahli Parlimen akan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Dakwanya tiga ahli Parlimen itu, yang tidak dinamakannya, meminta menyerahkan sendiri surat SD kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya melalui presiden parti.
Katanya akuan tersebut akan membuktikan Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk memimpin kerajaan sebagai perdana menteri seperti didakwa.
Ini memandangkan lapan ahli Parlimen Umno sudahpun menarik sokongan ke atas Muhyiddin, katanya.
“Kalau Muhyiddin kata dia ada 112 sokongan, yang keluar serah surat SD kepada Agong lapan orang ahli Parlimen.
“104 bukan majoriti. Saya dimaklumkan ada tiga lagi ahli Parlimen yang akan serahkan surat SD,”
Ia bagi menangkis kenyataan Muhyiddin semalam yang mengumumkan beliau masih ada sokongan yang cukup untuk terus menerajui kerajaan dan isu peletakan jawatannya tidak berbangkit.
Perdana menteri juga berkata satu usul undi percaya kepadanya akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam persidangan September nanti.
Ia diumumkan Muhyiddin selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam. – 5 Ogos, 2021.
Komen