Perang mulut projek terowong, Guan Eng akan saman


Looi Sue-Chern

Guan Eng sudah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang kepada Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mendakwa Guan Eng menipu berkaitan projek terowong dan tiga lebuh raya di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2018.

PERANG media antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Teng Chang Yeow berkaitan projek terowong dan tiga lebuh raya akan menjadi kes mahkamah.

Guan Eng mengatakan beliau sudah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan undang-undang terhadap pemimpin Gerakan itu kerana menuduhnya berbohong apabila mengatakan kerajaan Pulau Pinang tidak membayar apa-apa untuk projek terowong dasar laut itu.

Baru-baru ini Teng mempersoalkan sekiranyanya kerajaan negeri menipu mengenai perkara itu, memetik jawapan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air &Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Kereta Api) Lim Hock Seng pada November 2017 di Dewan Undangan Negeri yang mengatakan RM219.9 juta dibayar kepada projek itu setakat ini.

Pecahan bayaran itu termasuklah RM208.7 juta melalui pertukaran tanah kepada kontraktor projek Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, dan RM11.2 juta tunai kepada perunding kejuruteraan bebas, HSS Integrated Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri untuk mengesahkan dakwaan dan reka bentuk kontraktor.

“Teng enggan memahami apa yang dikatakan Hock Seng. Dakwaannya berasaskan kenyataan yang dinafikan Hock Seng.

“Hock Seng tak pernah kata duit dibayar untuk terowong. Jelas sekali Teng tak berkata benar,” katanya menambah yang kerajaan negeri hanya akan “mempertimbangkan untuk membayar” kontraktor projek terowong itu selepas kajian disiapkan.

“Memandangkan Teng kata saya boleh saman dia, saya harap dia tak lepaskan diri. Saya akan minta peguam saya bertindak,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini. – 18 Januari, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen