KEPUTUSAN Putrajaya untuk “kuarantin” Dewan Rakyat sedangkan ahli Parlimen yang terdedah dengan Covid-19 masih ke sana dan ke sini dan tidak masuk akal, kata bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.
“Kenapa pula kerajaan kuarantinkan Dewan Rakyat yang kosong untuk dua minggu tetapi ahli-ahli Parlimen yang terdedah Covid-19 dibenar ke sini dan ke sana?
“Keputusan pelik ini antara contoh kenapa Covid-19 menjadi semakin parah bawah kerajaan PN sehingga menjadi antara paling parah dalam dunia dari segi saiz penduduk,” tulisnya di Facebook.
Beliau berkata ahli Parlimen yang sepatutnya dikuarantin kerana terdedah kepada Covid-19 juga mengadap Yang di-Pertuan Agong, masuk ke pejabat dan mengadakan beberapa pertemuan di kediaman mereka.
Sidang khas Parlimen yang sepatutnya tamat pada Isnin, ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan Covid-19 di Parlimen.
Ini menyebabkan ahli Parlimen pembangkang bertindak berarak ke Parlimen pada Isnin dan dihalang oleh sekatan polis dan pasukan unit simpanan persekutuan.
Ahli Parlimen Pekan berata keputusan yang dibuat oleh kerajaan bukan berpandukan sains.
“Covid-19 boleh membiak seperti lipas dalam dewan kosong ke? Langsung tak masuk akal.
“Sekiranya ahli-ahli Parlimen yang terdedah sudah lama bebas ke mana-mana maka ianya selamat untuk membuka semula Parlimen sekarang juga sebab dewan kosong tidak menjangkit sesiapa.
Pada Selasa, Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata 11 ahli Parlimen telah menarik balik sokongan mereka.
Susulan pengumuman itu, Muhyiddin berkata beliau sedia menguji sokongan majoritinya di Dewan Rakyat pada September ini.
Najib kemudian menyatakan perdana menteri sepatutnya terus meletakkan jawatan tanpa menunggu bulan depan. – 5 Ogos, 2021.
Komen