PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menggesa pengeluar vaksin Covid-19 agar memastikan harga rendah dan berpatutan, selepas melaporkan dua pengeluar akan menaikkan kos yang dikenakan kepada Kesatuan Eropah (EU).
Pfizer-BioNTech dan Moderna menaikkan harga vaksinnya kerana ia disesuaikan dengan varian virus baharu, menurut laporan.
Vaksin Pfizer akan naik dari €15.50 kepada €19.50 (RM77.49 hingga RM97.48) dan Moderna dari €19 kepada €21.50, lapor akhbar Britain, Financial Times pada Ahad, memetik kontrak yang dimeterai dengan EU.
Mariangela Simao, penolong ketua pengarah WHO bagi akses kepada ubat-ubatan, vaksin dan farmaseutikal, pada sidang media semalam berkata: “Sangat penting syarikat kami mengumumkan dasar harga yang berpatutan.”
Beliau berkata Pfizer dan Moderna meningkatkan kapasiti pembuatannya, mempelbagaikan kilang dan meningkatkan kecekapan pengeluaran.
“Dalam situasi pasaran normal, ini akan menyebabkan penurunan harga, bukannya kenaikan harga.
“Kita memiliki pasaran dengan permintaan sangat tinggi berbanding pengeluaran.
“WHO menggesa syarikat memastikan harga rendah dan berpatutan.”
Separuh daripada populasi EU kini sudah divaksinasi sepenuhnya, menurut laporan AFP daripada sumber rasmi. – AFP, 5 Ogos, 2021.
Komen